Skuad Harimau Malaya berpeluang menentang pasukan di ranking ke-84 dunia, Jordan apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mendedahkan pihaknya merancang untuk mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan dua pasukan tersebut.

Perkembangan itu adalah susulan kunjungan hormat Presiden FAM ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), Putera Ali Bin Al Hussein di Amman bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala Malaysia-Jordan.

Dalam pertemuan terbabit, semalam, Datuk Haji Hamidin turut memaklumkan kepada Putera Ali yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) mengenai pembangunan bola sepak Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak bukan saja antara Jordan malah antara negara Asia Barat di bawah WAFF.

“Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.

“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar FIFA nanti.

“Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Datuk Haji Hamidin.

FOTO: FAM

Pada dasarnya kedua-dua pemimpin menyambut baik cadangan supaya hubungan kedua-dua negara, Malaysia-Jordan dan juga Asia Barat dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif.

Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zou’bi yang berasal dari Jordan juga dilihat mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini.

Soleen sebelum ini ialah Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di JFA melapor diri di Wisma FAM pada 1 Disember lalu

Sementara itu, WAFF bepusat di Amman ialah badan penggendali bola sepak di Asia Barat di bawah AFC dan FIFA. WAFF mempunyai 12 negara anggota iaitu Jordan, Qatar, Bahrain, UAE, Palestin, Iraq, Kuwait, Lebanon, Oman, Arab Saudi, Syria dan Yemen.