Laporan daripada Arena Metro hari ini mendedahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mempertimbangkan klausa ‘Force Majeure’ untuk dimasukkan dalam kontrak pemain Liga Malaysia selepas ini bagi mengatasi masalah pemotongan gaji akibat bencana tertentu seperti wabak COVID-19.

Wabak pandemik itu adalah sesuatu yang tidak pernah kita hadapi dan situasi tersebut menyebabkan perjalanan Liga Malaysia terhenti sekaligus menjejaskan kantung kewangan pasukan untuk membayar gaji pemain.

Terdapat beberapa pasukan terpaksa mempertimbangkan untuk memotong gaji pemain berikutan kesukaran syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kerana ekonomi yang merudum ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.

Mengulas mengenai isu tersebut, setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan beberapa penambahbaikan dalam kontrak pemain perlu dilakukan pada masa hadapan disertai dengan kajian mendalam bersama semua pemegang taruh termasuk pasukan dan wakil pemain terdiri daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesionall Malaysia (PFAM).

“Perkara ini adalah pengalaman baharu kepada kita (FAM) dan saya kira ia boleh diperhalusi apabila kita sudah kembali beroperasi seperti biasa nanti.

“Namun Force Majeure ini kita perlu meneliti dan mengkaji untuk melihat kriteria atau objektif yang lebih tepat bagi dimasukkan ke dalam kontrak pemain. Selain maklum balas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC.

“Bukan kita saja tidak ada klausa Force Majeure ini, negara-negara lain juga mungkin mengalami situasi sama kerana kita mengambil templete kontrak yang diedarkan FIFA. Jadi sebarang perubahan, harus dikaji secara mendalam dan mendapat kelulusan FIFA,” katanya kepada Arena Metro.

Stuart
Sumber Gambar: FAM

Berdasarkan carian internet, Force Majeure bermaksud keadaan di luar kawalan yang tidak dapat dielakkan lalu menghalang seseorang daripada mematuhi kontrak tersebut.

Bagi Stuart, Force Majeure membawa pelbagai maksud dan pihaknya akan cuba sesuaikan dengan budaya bola sepak Malaysia berdasarkan kajian menyeluruh.

“Force Majeure ini kadang-kadang boleh membawa makna dan pengertian yang pelbagai. Contohnya, adakah masalah jerebu juga kita boleh kaitkan dengan Force Majeure atau hujan lebat juga diertikan dengan klausa itu.

“Jadi kita kena sesuaikan istilah Force Majeure dengan suasana dan budaya bola sepak Malaysia supaya ia memberi kebaikan secara adil kepada semua pihak termasuk pemain, pasukan dan peminat,” katanya.

Beberapa hari lalu, PFAM mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk melakukan pemotongan gaji dan bertegas agar kontrak pemain dipatuhi sebaiknya.

Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain bola sepak melalui pautan dibawah.

Ini Pendirian PFAM Berhubunga Isu Gaji Dan Kontrak Pemain Liga Malaysia

“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”

Tiada Perlawanan Menyebabkan KAFA ‘Hilang’ RM100,000 Setiap Perlawanan, Pemain Mungkin Dipotong gaji

Sumber