Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memastikan keselamatan pemain negara terjaga apabila Malaysia bertandang ke Indonesia bagi menghadapi perlawanan pertama saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September nanti.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau sudah menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan keselamatan pemain terjaga ketika kunjungan ke negara terbabit.

Datuk-Hamidin-Amin
Sumber Gambar: Kitajuara.my

“Berdasarkan pengalaman Sukan SEA 2011, Piala AFF di Jakarta pada 2010 dan Piala AFF bawah 19 tahun lalu, pertemuan menentang Indonesia di tempat mereka pasti tidak terlepas daripada kekecohan penyokong tuan rumah.

“FAM mahu AFC dan PSSI memastikan ke­selamatan penyokong dan pasukan kita berada di tahap ter­tinggi.

“Tiada kompromi. Saya sudah menghubungi Setiausaha Agungg PSSI dan AFC supaya pasukan kebangsaan kita terjaga dengan baik,” kata Datuk Hamidin menurut laporan Utusan Malaysia.

Pasukan kebangsaan mempunyai memori buruk apabila beraksi di Indonesia khususnya Gelora Bung Karno (GBK) apabila mendapat layanan yang tidak sepatutnya daripada penyokong pasukan tuan rumah.

Pada 2010, pemain negara terpaksa menaiki kereta perisai (barracuda) ketika mahu memasuki GBK menjelang perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki. Pemain turut dihantar pulang ke hotel penginapan menaiki barracuda selepas dikepung oleh penyokong tuan rumah dan diba­ling objek keras kerana tidak berpuas hati pasukan mereka kalah.

Malaysia dibaling botol
Sumber Gambar: Kompas Bola

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku selepas pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu berdepan provokasi penyokong tuan rumah. Tahun lalu, pemain muda negara pula dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka pada perlawanan separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.