Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mereka telah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu, laporan yang dikeluarkan oleh salah satu media iaitu Bernama merupakan rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan berkenaan dan bukannya dipetik daripada kenyataan sebenar daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

FAM menjelaskan, ketika temu ramah bersama wartawan berkenaan, Stuart langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC, seperti yang dilaporkan dalam artikel berkenaan.

Tambah FAM, apa yang boleh didengar dalam rakaman audio di atas, Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan berkenaan pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC di peringkat domestik.

Pada masa yang sama, FAM turut mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu.

“Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Sekretariat Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan.”

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Bangunan Dua Tingkat Berbentuk Jata JDT Bakal Dibina Bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim

Kelantan FC Berdepan Risiko Dipotong Tiga Mata Jika KAFA Gagal Lunaskan Tunggakan Gaji

TMJ Dikatakan Akan Pinjamkan Liridon Krasniqi Dan Syahrian Abimanyu Ke Kelab Australia – Newcastle Jets