Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberi bayangan penolong jurulatih skuad senior negara, S. Balachandran, bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22).

Menurut laporan daripada Stadium Astro, Balachandran kini berada dalam penilaian FAM dan dilihat sebagai calon utama untuk meneruskan kesinambungan corak permainan dan DNA bola sepak di antara skuad senior dan skuad muda.

“Bulan Mac dan Jun ini merupakan jendela FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) yang amat penting buat skuad kebangsaan. Kepentingan Tan Cheng Hoe dan pembantunya, jurulatih Bala, adalah untuk skuad senior.

“Jadi, dalam mesyuarat yang akan datang, kami akan membuat keputusan dan tidak mustahil untuk jurulatih Bala disenarai pendek,” kata Stuart Ramalingam.

Tan

Tan Cheng Hoe bersama pembantunya, S. Balachandran. Sumber Gambar: FAM

Balachandran antara watak penting yang membantu ketua jurulatih, Cheng Hoe, menerapkan formasi 4-3-3 dalam skuad senior kebangsaan. Antara pencapaian terbaik beliau ialah membawa skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) layak ke suku akhir kejohanan AFC B-16 pada tahun 2014.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan tidak semestinya Balachandran akan dipilih sebagai pengendali skuad B-22 kerana mereka masih menilai 12 calon lain yang telah menghantar permohonan kepada FAM.

“Kerjasama di antara skuad senior dan B-23 amat penting tetapi tidak bermakna individu itu adalah jurulatih Bala.

“Tetapi ia adalah antara unsur-unsur untuk kami memastikan ia sejajar dengan hala tuju kami,” tambahnya.

Mereka yang terpilih akan diumumkan pada bulan Mac ini selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menilai kesemua calon berkenaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia melalui pautan dibawah.

FA Thailand Capai Persetujuan Dengan Akira Nishino, Lanjutkan Kontrak 2 Tahun Lagi Dengan Misi Ke Piala Dunia 2026

Larangan Beraksi Di Halaman Sendiri, Kelab Iran Ugut Tarik Diri Daripada AFC Champions League 2020

Ceres-Negros Cipta Kejutan Tewaskan Juara Piala FA Thailand, Port FC

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group