Kejayaan skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) menewaskan Australia, 3-0 dalam kejohanan AFF B-15 semalam telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan. Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menerima kecaman daripada pelbagai pihak kerana menyifatkan kejayaan itu adalah hasil daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan bulan lepas.

Bagaimanapun FAM pada hari ini mengeluarkan kenyataan media memohon maaf dan tidak berniat untuk mengambil kredit atau ‘claim’ kejayaan skuad kendalian P Maniam itu. Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, apa yang dimaksudkan oleh mereka ialah kejayaan pemain muda negara seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia.

“Untuk makluman semua, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.

“Kami gembira melihat kerjasama ini telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan-pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar.

“Di sini, FAM turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan juga pihak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang kerana tanpa sokongan dan usaha mereka selama ini, para pemain skuad B-15 kebangsaan ini tidak akan sampai ke tahap terbaik ini bagi meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan itu,” jelasnya.

Stuart juga berharap para peminat bola sepak tempatan tidak terus berbalah mengenai hal ini sebaliknya terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

“Justeru, saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ ini. Marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B bertemu Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk kita layak ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas final bagi menjuarai kejohanan ini,” katanya.

aff u16 GROUP N RESULT-01

Selepas menewaskan Australia, skuad negara mengumpulkan 9 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini. Mereka juga telah menjaringkan 13 gol selepas tiga perlawanan.