Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka mempunyai ‘senjata baharu’ bagi memperkasakan skuad kebangsaan menjelang saingan peringkat kelayakkan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada September ini.

Perkara tersebut disuarakan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dimana beliau menegaskan inisiatif tersebut bertujuan untuk memperkasakan lagi kekuatan pasukan kebangsaan ketika mengharungi saingan kelayakan tersebut.

Namun, Datuk Hamidin mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan ‘senjata baharu’ tersebut.

Datuk Hamidin Mohd Amin
Sumber Gambar: FAM

“Ini masih lagi rahsia dan kita akan umumkan secara rasmi nanti. Saya berpendapat, ini sebagai salah satu langkah kita untuk memantapkan lagi pasukan kebangsaan kita bagi aksi penting terbabit,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Meskipun Datuk Hamidin tidak membuat sebarang pendedahan, tetapi ramai pihak berpendapat ‘senjata baharu’ tersebut ialah FAM akan memanggil pemain kacukan bagi beraksi bersama pasukan senior kebangsaan.

Sebelum ini, FAM dikhabarkan telah menghantar dokumen kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai dua pemain kacukan iaitu Kobe Chong dan Armin Meier untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan sekaligus membolehkan kedua-dua pemain beraksi bersama skuad Harimau Malaya. Selain dokumen Kobe dan Armin, badan induk bola sepak negara itu turut menghantar dokumen Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula untuk dijadikan pemain naturalisasi.

KDN kemudiannya memberikan maklum balas dimana mereka sedia untuk meluluskan permohonan FAM sekaligus membantu pasukan negara untuk mengharungi saingan peringkat kelayakkan.