Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat tindakan awal berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil sepanjang perlawanan ketiga Liga Super 2022 yang telah berlangsung pada hari Selasa dan Rabu lepas.

Salah satu insiden yang menjadi pendebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ialah tindakan pengadil membatalkan dua jaringan Sri Pahang ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman.

Menurut kenyataan rasmi Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, badan Penilai Pengadil mendapati terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pengadil tersebut walaupun Sri Pahang tidak menghantar sebarang bantahan.

“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.

“Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pengadil untuk perlawanan Negeri Sembilan menentang Selangor dan KL City menentang JDT walaupun mutu pengadilan dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab dan pemain pertahanan KL City, Kenny Pallraj.

“FAM telah menerima surat aduan daripada Selangor FC pada Rabu, 6 April 2022 dan sudah pun membalas surat berkenaan pada Khamis, 7 April 2022 dan tidak menerima sebarang surat aduan daripada Kuala Lumpur City FC,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

Masalah Tunggakan Gaji Ganggu Fokus Melaka United Dalam Saingan Liga Super

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19

Yusri Che Lah: Ada Pemain Jual Motosikal Untuk Kelangsungan Hidup

Disahkan Kanser, Brendan Gan Beri Sokongan Kepada Louis van Gaal