Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk membina pusat latihan bertaraf dunia bersama-sama ibu pejabat baharu badan induk bola sepak negara itu di Presint 5, Putrajaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat lawatan ke tapak pusat latihan kebangsaan dan ibu pejabat baharu badan induk itu yang dicadangkan menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5, Putrajaya. Tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM, selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan, menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tujuan utama FAM untuk membina pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Tambah Datuk Haji Hamidin, langkah ini sejajar dengan kedudukan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Negara dan juga menepati hasrat Kerajaan menjadikan Presint 5 sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Football City atau Bandar Bola Sepak yang menempatkan ibu pejabat baharu FAM sambil diapit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

“Berdasarkan tinjauan ini, FAM berpuas hati dengan susun atur serta pelan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya menerusi Datuk Fadlun.

“FAM juga mengambil kira tuntutan masyarakat setempat selain pentingnya sebuah stadium bertaraf antarabangsa yang boleh dijadikan gelanggang perlawanan antarabangsa,” kata Datuk Haji Hamidin.

Datuk Hamidin Amin
Datuk Hamidin melawat tapak baharu pusat latihan FAM. Sumber Gambar: FAM

Lawatan yang berlangsung semalam turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama barisan exco FAM dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam.

Baca artikel lain mengenai FAM di sini:

FAM Terima Pencalonan Untuk Anugerah Dream Asia AFC 2019

FAM Lakukan Kajian Terperinci Sebelum Panggil Pemain Dari Luar Negara

FAM Dalam Proses Akhir Untuk Mengemukakan Aduan Rasmi Ke FIFA