Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ini telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Rumusan keputusan mesyuarat telah disampaikan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta dua Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub dan Dato’ S Sivasundaram.

Antara keputusan yang telah dicapai adalah seperti berikut:

1. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan

Telah dimuktamadkan bahawa liga-liga bola sepak negeri perlu ditubuhkan tahun depan bermula dengan liga B-21 dan liga B-19 dengan tujuan utama untuk membentuk satu sistem pembangunan di peringkat negeri yang akan dapat membantu pasukan Piala Presiden dan Piala Belia setiap negeri dalam mendapatkan kumpulan pemain yang lebih besar.

Seterusnya, liga negeri akan diperkembangkan kepada liga B-17 bermula tahun 2022 dan liga B-15 bermula tahun 2024.

Format pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia mulai 2020 akan berubah dengan adanya dua liga iaitu Liga Utara dan Liga Selatan bagi mengurangkan kos perjalanan dan penginapan yang dialami pasukan. Bagaimanapun ia tidak menjejaskan jumlah perlawanan bagi setiap pasukan.

Dengan adanya liga negeri B-21 dan B-19 bermula tahun depan dan adanya pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia, liga negeri akan memainkan peranan sebagai ‘feeder’ kepada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia setiap negeri.

2. Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia

FAM telah disenarai pendek sebagai tiga calon terakhir bagi kategori AFC President Recognition Awards for Grassroots Football (Inspiring) pada AFC Annual Awards 2019 di Hong Kong, 2 Disember ini.

Satu pencapaian yang tinggi apabila FAM telah dicalonkan bersama Persatuan Bolasepak China (CFA) dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).

3. Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai

Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2020 akan bermula pada Mac 2020 dengan pengenalan satu slot pemain import untuk setiap pasukan bertanding mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan seperti salary cap (gaji siling) dan peringkat liga mana yang pemain itu beraksi ketika ini.

Saingan MPFL 2020 akan disertai 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita.

Turut akan diperkenalkan, saingan peringkat piala iaitu Piala CUCKOO Malaysia 2020 pada penghujung musim selepas saingan peringkat liga berakhir.

4. Jawatankuasa Pemasaran & Penajaan

Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial (SR) FAM telah diluluskan yang mana ia akan menjadikan FAM sebagai persatuan sukan pertama di Malaysia yang mempunyai unit dan juga rangka kerja SR sendiri. Simposium SR FAM juga akan diadakan pada Januari atau Februari 2020.

5. Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM

Perancangan dan garis masa bagi pelaksanaan pertukaran FA ke FC pada tahun depan telah dibincang dan diluluskan bagi memastikan semua FA di bawah FAM, mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh AFC, akan bertukar status kepada FC sebelum penghujung 2020, iaitu menjelang musim 2021.

6. Jawatankuasa Roadmap F:30

Laporan ketiga telah dibentangkan dan peratusan peningkatan pelaksanaan bagi suku ketiga tahun 2019 akan disiarkan kepada umum menerusi laman web rasmi dan sosial media FAM, hari ini.

7. Jawatankuasa Undang-Undang dan Peraturan

Telah diluluskan pembaharuan dalam Regulations on the Status and Transfer of Players (RSTP).

Baca juga artikel berkaitan bola sepak Asia lain yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

FA Thailand Bina Pusat Latihan Pasukan Kebangsaan Bernilai RM55 Juta, Dibiayai Sepenuhnya Oleh KING POWER

Malaysia Kutip 31.12 Mata FIFA Ranking, Dijangka Akan Melonjak 4 Tangga Dalam Ranking Dunia

Brendan Gan: Kita Bukan Pasukan Yang Kerdil Lagi, Positif Dengan Kualiti Yang Dimiliki Dalam Pasukan Malaysia