Bagi memastikan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) diswastakan sepenuhnya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang giat membantu 3 kelab daripada Liga Super dan Liga Premier bagi melengkapkan proses pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) menjelang garis masa yang ditetapkan iaitu September 2020.

Langkah untuk melakukan proses tersebut telah pun diarahkan oleh FAM kepada kelab-kelab yang bertanding itu pada Februari 2020, namun ia dilihat agak sedikit perlahan dan terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020.

Selain itu, Unit Pelesenan Kelab FAM dan Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM telah berjumpa dengan 3 wakil kelab ini bagi memberikan taklimat dan penerangan berhubung proses penswastaan kelab.

Ia dimulakan dengan lawatan ke Melaka FA pada 15 dan 16 Jun 2020, diikuti Pulau Pinang FA pada 25 dan 26 Jun 2020 dan juga Kuala Lumpur FA pada 1 Julai 2020 iaitu selepas FAM menerima permintaan daripada ketiga-tiga kelab berkenaan.

“Kunjungan berkenaan telah disertai oleh Pengurus Pelesenan Kelab FAM, Andrew Soorian dan penolongnya, Vijash Naidu serta dua ahli Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM iaitu Joshua Edgar dan Izahar Atan bagi membincangkan dan menjelaskan lebih lanjut mengenai proses penswastaan tersebut.

“Exco FAM, Mohd Firdaus Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM bersama Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam serta pentadbiran Pelesenan Kelab FAM telah menerima kunjungan daripada Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi dan pegawai-pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Ia bagi membincangkan mengenai apakah langkah yang perlu dilakukan oleh kelab-kelab yang diswastakan ini supaya dapat mematuhi undang-undang sukan negara.,” kata kenyataan rasmi daripada FAM.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Kelab J. League Berminat Dapatkan Khidmat “Right Back” Thailand, Nitipong Selanon

Digelar Sebagai ‘Bacot’ Oleh Pemain Bali United, Reaksi Balas Tenang Safee Sali Bukti ‘Profesionalisme’ Tertinggi

Media Thailand Anggap BG Pathum United Punyai Barisan Serangan Terbaik Di Thai League 1