Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan faktor utama mengapa mereka tidak menghantar skuad wanita negara untuk beraksi dalam temasya Sukan SEA di Vietnam.

Keputusan pasukan bola sepak wanita tidak bertanding di Sukan SEA Vietnam dibuat tahun lalu selepas mengambil kira kekuatan lawan di pentas antarabangsa dan pencapaian Harimauwati Malaya negara pada dua temasya terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hakikat bahawa pasukan negara belum menampakkan potensi untuk mencabar di pentas serantau ketika ini.

FAM
KUALA LUMPUR 08 JULY 2017. Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) berbual dengan Pengerusi Jawankuasa Bola Sepak Wanita dan pengurus pasukan Datuk Suraya Yaacob pada sesi latihan pasukan wanita perempuan di Jeonsa Kampung Baru, yang dalam persedian menghadapi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 tidak lama lagi. NSTP/OSMAN ADNAN

Mengikut kelaziman Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang membahagikan kontinjen ke Sukan SEA berdasarkan kategori A dan B berasaskan potensi memenangi pingat, Suraya berkata FAM berpendapat bahawa peluang memenangi pingat amatlah tipis berpandukan prestasti semasa.

“Maklumat yang kami dapati ialah skuad pilihan seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar serta Filipina memiliki kelebihan yang sukar untuk pasukan negara saingi ketika ini.

“Selepas mengambil kira keputusan pasukan negara di edisi 2017 dan 2019 serta berdasarkan prestasi semasa, kami memutuskan tidak bertanding pada edisi Sukan SEA kali ini,” katanya.

Skuad kendalian Jacob Joseph tewas kepada Myanmar dan Filipina dalam laluan menduduki tangga terakhir Kumpulan A di Sukan SEA 2019. Di depan penyokong sendiri pada 2017, pasukan bimbingan Jacob tewas empat perlawanan – 1-2 kepada Filipina, 0-5 di tangan Myanmar serta dibelasah 0-6 oleh Thailand dan Vietnam.

Suraya menegaskan keputusan tidak mengirim pasukan ke Sukan SEA Vietnam dibuat sebelum temasya dwitahunan itu yang sepatutnya dianjurkan pada November-Disember 2021, ditangguhkan kepada Mei 2022 disebabkan penularan COVID-19.

Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira prestasi Harimauwati Malaya pada pusingan kelayakan Piala Asia di Palestin pada September 2021, iaitu satu-satunya kejohanan kompetitif skuad negara dalam tempoh dua tahun. Dalam pusingan kelayakan itu, skuad kendalian Jacob tewas 0-4 di tangan Thailand sebelum melakar kemenangan 2-0 ke atas Palestin.

Menurut Suraya, meskipun Harimauwati Malaya boleh menampilkan skuad yang diperkuatkan oleh Steffi Sarge Sergeant Singh, Nurul Azurin Mazlan, Andrea Lee dan Henrietta Justine, FAM bimbang usaha membangunkan skuad negara secara keseluruhan terencat andai mereka menjadi pasukan belasahan di Vietnam.

Ditanya mengenai penyertaan di Palestin tahun lalu, Suraya menegaskan bahawa setiap ahli gabungan atau negara anggota AFC dan juga Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dikehendaki menyertai pertandingan peringkat umur serantau dan benua bagi memenuhi syarat-syarat sebagai ahli gabungan.

“FAM komited menyertai semua kejohanan anjuran AFC dan naungan AFF kerana setiap negara anggota dimestikan berbuat demikian. Bagaimanapun, untuk temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia yang dinaungi MOM, kami diberi pilihan untuk mengkaji semua pilihan yang ada,” katanya.

Suraya juga menjelaskan bahawa FAM sedang merancang strategi memperkasakan saingan Piala Tun Sharifah Rodziah untuk menjenamakannya sebagai sebuah liga untuk wanita mengikut zon sebagai usaha meletakkan asas yang betul dari segi struktur pertandingan tempatan.

“Perancangan ini semua terangkum dalam Pelan Pembangunan Strategik Bolasepak Wanita yang sepatutnya dilancarkan tahun lalu tetapi ditunda atas sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) sebanyak dua kali. Namun elemen yang ada dalam pelan strategik itu dilaksanakan di balik tabir,” katanya.

Beliau juga memuji langkah Selangor yang memperkenalkan Women’s Super League (WSL) yang mendapat sambutan menggalakkan tetapi mengingatkan semua bahawa setiap ahli gabungan FAM dan juga pemegang taruh MFL wajar membudayakan bola sepak wanita di peringkat akar umbi bagi meluaskan kelompok pemain di peringkat paling asas.

“Yang penting ketika ini ialah FAM cuba memperkasakan saingan liga tempatan sebagai usaha mengenal pasti bakat yang boleh diketengahkan ke pentas Sukan SEA dan seterusnya Asia.

“Lebih banyak negeri dan kelab yang aktif menghidupkan bola sepak wanita di peringkat akar umbi, daerah dan negeri, lebih mudah untuk FAM mengetengahkan bakat untuk diasah di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Gandingan Kpah Sherman Dan Kipre Tchetche Taruhan Terengganu Robek Gawang Tok Gajah

Liga Super 2022: Syafiq Ahmad Waspada Cabaran Sarawak United

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium