Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan kolaborasi terbaharunya bersama salah satu syarikat teknologi terkemuka di dunia, HP Inc. Malaysia.

Jalinan kerjasama itu dimeterai bagi memastikan arena e-sukan bola sepak serta ekosistemnya terus dibangunkan menerusi pengunaan barangan elektronik berkualiti tinggi seperti komputer riba HP Victus dan perkakasan permainan HyperX keluaran HP.

Selain itu, HP Malaysia juga telah menzahirkan komitmennya sebagai rakan penaja Peralatan Teknologi Maklumat & e-Stor rasmi skuad eRimau FAM bagi kempen FIFA eNations Series 2023 yang dijadualkan bermula Disember ini.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin melihat kolaborasi bersama syarikat teknologi terkemuka itu sebagai permulaan yang amat baik untuk masa hadapan e-sukan bola sepak di dalam negara.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh barisan penaja FAM telah banyak membantu kami di FAM untuk terus membangunkan serta menambah baik ekosistem bola sepak di Malaysia.

“Menerusi kolaborasi terbaharu FAM bersama HP Malaysia, kini kami berpeluang untuk memperluaskan serta menambah baik ekosistem bola sepak negara dengan memasukkan e-sukan bola sepak ke dalam program pembangunan negara.

“Saya harap menerusi kolaborasi ini, FAM dapat melahirkan lebih ramai bakat muda di dalam arena e-sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sumber Gambar: FAM

Beliau turut meluahkan rasa teruja untuk melihat skuad eRimau FAM beraksi pada kempen FIFA eNations Series 2023 dengan kehadiran HP Malaysia sebagai penajanya.

“Saya yakin dengan HP Malaysia sebagai penaja skuad eRimau, barisan pemain serta jurulatih lebih bersemangat untuk memulakan kejohanan itu nanti,” ujar beliau lagi.

Majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan HP Malaysia itu telah dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Dato’ Sri Shahril Mokhtar.

Exco FAM, Saaran Nadarajah dan ACP (B) Md Dali Wahid, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dan Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan serta turut menampilkan empat pemain skuad eRimau iaitu Ahmad Akmal Abdul Rafil, Faiq Iskandar Saiful Bahri, Muhammad Imran Burhanudeen dan Muhammad Muzzafar Zuhair Mustafa.

Sumber Gambar: FAM

Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan berkata, “HP dan FAM berkongsi visi yang sama untuk meningkatkan kualiti e-sukan di Malaysia. Menerusi prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh atlet Malaysia dalam beberapa tahun ini, kami percaya jalinan kerjasama ini adalah tepat demi memburu kegemilangan.

“Jalinan kerjasama ini menandakan komitmen yang tinggi terhadap industri permainan di Malaysia yang semakin berkembang dan kami di HP Malaysia amat teruja untuk memulakan kolaborasi ini dengan melengkapkan skuad eRimau bersama teknologi yang mereka perlukan untuk persiapan FeNOQ22 Play-Ins Asia & Oceania 2023,” katanya.