Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin yang ditawarkan tempat beraksi bersama kelab divisyen 1 Liga Belgium, K.V. Kortrijk mulai tahun 2020.

Meskipun dikaitkan dengan beberapa kelab liga Super termasuk perpindahan ke kelab Jepun, Cerezo Osaka, namun K.V Kotrijk berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan khidmatnya untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Akan tetapi, Luqman akan dihantar ke Cardiff City terlebih dahulu bagi menjalani latihan  dan apabila Luqman mencecah usia 18 tahun pada Mac 2020, barulah beliau akan menandatangani kontrak profesional bersama kelab yang berpangkalan di bandar Kotrijk itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berharap lebih ramai pemain muda mengikut jejak langkah Luqman supaya dapat melahirkan pasukan kebangsaan yang kuat di masa depan.

“Dengan berita seperti ini, kami harap ia membuka mata semua pihak termasuk pemain muda untuk memiliki impian beraksi di Eropah atau pun mana-mana destinasi luar Malaysia. Program ke Jepun tidak hanya untuk Luqman tetapi babitkan pemain lain juga.

“Dalam industri bola sepak, siapa cepat dia dapat. Saya tidak fikir yang mereka rampas daripada FAM kerana pembangunan individu adalah menjadi keutamaan dan ia sentiasa jadi keutamaan,” katanya dalam Berita Harian.

luqman hakim
FOTO: Vocket FC

Pada masa yang sama, Stuart turut menegaskan FAM akan memantau perkembangan Luqman di Belgium dan sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi memastikan pemain yang berusia 17 tahun itu dapat menjalani kehidupan dengan selesa di eropah.

“Kita di pihak FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan pantau apa yang diperlukan. Macam mana kita bantu sekali pun, segalanya terpulang kepada diri pemain itu sendiri sama ada mahu berjaya atau tidak.

“Kita tidak akan lepas tangan dan kita akan hulurkan sebarang bantuan dari luar,” katanya.

Baca kisah sahih bagaimana rundingan Luqman bersama K.V. Kortrijk bermula.

Kisah Sahih Mengenai Bagaimana Hubungan Luqman Hakim, KV Kortrijk Dan Cardiff City Bermula

Sumber