Penelitian dan siasatan oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah merumuskan bahawa insiden membabitkan pengadil, Suhaizi Shukri dan pemain Selangor, Fazly Mazlan hanyalah tindak balas spontan pengadil berkenaan tanpa sebarang niat untuk menyepak pemain tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, susulan insiden itu, pengadil berkenaan telah pun memohon maaf kepada FAM, MFL, Jawatankuasa Pengadil dan juga peminat serta penyokong bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan itu yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

“Pada minit ke-45, pemain No.22 dari Selangor FC iaitu Fazly Mazlan telah dilayangkan kad kuning kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan kesalahan menganggu atau menggagalkan serangan yang baik pihak lawan iaitu Sabah.

“Seterusnya pemain tersebut bergerak ke arah pengadil perlawanan dengan melakukan bantahan, seterusnya memijak kaki pengadil.

“Ini membuatkan pengadil tersebut tidak dapat menahan kesakitannya, lantas secara spontan mengangkat kaki kebetulan ditujukan ke arah kaki pemain Selangor berkenaan.

“Bagaimanapun, pergerakan kaki pengadil tidak berkesudahan dengan sebarang sentuhan terhadap pemain tersebut,” jelas Mohd Saifuddin merujuk kepada keterangan yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.

Tambah Mohd Saifuddin: “Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil seterusnya telah membuat siasatan terhadap insiden ini dan pengadil perlawanan telah mengakui bahawa insiden ini hanyalah tindak balas spontan mengangkat kaki sahaja dan tidak ada niat untuk menyepak pemain tersebut.”

Mohd Saifuddin turut memberitahu bahawa pengadil berkenaan menyatakan bahawa tiada sebarang sentuhan terhadap pemain berkenaan walaupun laporan dari segi foto dan video yang tular diambil dari sudut yang memberi gambaran seolah-olah beliau menyepak pemain tersebut.

“Pengadil perlawanan juga menegaskan bahawa beliau tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut, sebagai contoh, memberi kad kuning kedua kepada pemain tersebut kerana memijak kaki pengadil, adalah disebabkan beliau menganggap tindakan pemain memijak kaki pengadil adalah tidak disengajakan.

“Pada saat dan ketika itu, pengadil perlawanan beranggapan bahawa kad kuning yang dilayangkan disebabkan kesalahan asal, sudah memadai,” ujarnya.

Jelas Mohd Saifuddin lagi, Suhaizi Shukri adalah seorang pengadil yang cukup berpengalaman dengan bergelar Pengadil FIFA sejak tahun 2011 dan sebelum ini tidak pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau melakukan kesilapan besar dalam pengendalian perlawanan sama ada di peringkat domestik atau di pentas antarabangsa.

“Bagaimanapun, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil tetap memberikan amaran keras kepada Suhaizi supaya tidak mengulangi sebarang tindakan sedemikian.

“Suhaizi telah pun memohon maaf kepada FAM, MFL, Jawatankuasa Pengadil FAM dan juga peminat serta penyokong bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan itu. Beliau (Suhaizi) mengambil iktibar atas perkara ini dan berjanji agar lebih berhati-hati terhadap sebarang kejadian tidak diingini.

“Tapi secara keseluruhan, beliau telah mengendalikan perlawanan Sabah FC dan Selangor FC ini dengan cukup baik dan kita tidak terima sebarang aduan atau bantahan daripada kedua-dua pasukan mengenai prestasi pengadil berkenaan,” kata Mohd Saifuddin.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Sebuah Pasukan Liga Super Bakal Tamatkan Kontrak Ketua Jurulatih

Isu Pengadil Tendang Fazly Mazlan, Subkhiddin Gesa Pihak Bersalah Diadili Sewajarnya

Shivan Pillay: PJ City Perlu Waspada Ancaman Situasi Bola Mati Sabah