Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mengemukakan laporan berhubung insiden kekecohan penyokong ketika perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno Khamis lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan menegaskan FAM amat kecewa dengan gangguan penyokong tuan rumah terhadap penyokong Malaysia yang hadir ke stadium.

Fairplay dan professionalisma telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang.

“FAM anggap negara jiran kita, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), melalui pihak kuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang telah berlaku justeru gagal mengotakan janji yang diberikan mereka secara umum untuk perlawanan ini.

“Mereka juga gagal mengawal sikap penyokong sepanjang pra mahupun ketika serta selepas perlawanan berlangsung sekaligus mencemarkan imej bola sepak Indonesia,” kata Stuart.

Sebentar tadi, FAM mengumumkan Stuart didampingi Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin telah bertemu dengan wakil-wakil dari AFC di AFC House, Bukit Jalil untuk mengesahkan hasrat persatuan bagi membuat laporan berhubung insiden kekecohan penyokong.

AFC, yang diwakili oleh Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium, Brian Johnson, Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadia, Shahin Rahmani dan Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan & Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong mengesahkan bahawa laporan oleh Pegawai Komisioner Perlawanan FIFA dan Pegawai Keselamatan FIFA perlawanan tersebut telah dihantar ke FIFA untuk penilaian dan tindakan mereka.

Seterusnya, FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua pada 19 November 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mengelakkan insiden berulang.

Baca artikel lain mengenai kekecohan penyokong Indonesia di sini:

Polda Metro Jaya Tegaskan Tiada Sebarang Kekecohan Penyokong Berlaku Di GBK

Saksikan Bagaimana Penyokong Indonesia Membaling Air Kencing Ke Arah Penyokong Malaysia

Dua Penyokong Malaysia Cedera Setelah Diserang Penyokong Indonesia