Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa agar pemain yang menghadapi isu tunggakan gaji agar tampil dan mendedahkan pihak atau individu yang menyebabkan mereka tidak menerima gaji seperti yang sepatutnya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata demikian kerana ramai pemain yang mementingkan bayaran gaji mereka dipenuhi dahulu berbanding mendedahkan dalang utama dalam krisis tersebut.

Menurut Stuart, pihaknya telah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam isu tunggakan gaji beberapa pemain yang mencecah nilai jutaan ringgit.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: mStar

“Saya pun sedia maklum individu berkenaan masih lagi terbabit dalam industri bola sepak negara. Bekas pemain yang melalui pengalaman perit itu sepatutnya tampil mendedahkan identiti individu berkenaan bagi menyelamatkan pemain lain supaya tidak menjadi mangsa,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, Jawatankuasa Status FAM menuntut Terengganu City FC supaya melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang berjumlah hampir RM411,900.

Tambah Stuart, FAM akan membantu pemain yang membuat aduan kepada badan induk bola sepak negara itu sekaligus mengheret individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.