Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa agar semua pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan untuk melengkapkan dokumen mengenai perlesenan kelab secepat mungkin.

Perkara ini disuarakan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dimana beliau turut mengingatkan supaya pasukan tidak membuat kerja hingga ke saat akhir bagi mengelakkan mereka ditimpa masalah.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam bersama Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. Sumber Gambar: FAM

Stuart berkata: FAM akui ada beberapa perkara seperti stadium dan juga dokumen kewangan memerlukan tempoh lama untuk disiapkan sebelum dihantar ke pihak berkaitan.

“Namun, jika mereka menghantar awal, FAM boleh memperbaiki lagi kelemahan dokumen itu, malah perbincangan bersama boleh dilakukan.

“Jika dokumen ditolak pada saat akhir menyebabkan kerugian pada pihak mereka, sekali gus kemungkinan tidak akan mendapat lesen daripada AFC,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam. Sumber Gambar: mStar

Tarikh tutup bagi permohonan untuk mendapatkan lesen FAM dan AFC berbaki tujuh hari lagi dan setakat ini, hanya dua pasukan mencapai 80 hingga 90 peratus dokumen disiapkan, manakala selebihnya masih ‘terkial-kial’ untuk melengkapkan dokumen berkaitan.

Untuk rekod, 11 daripada 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super tahun lalu lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Defend Selangor
Sumber Gambar: FA Selangor

Kedah, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala Kuala Lumpur, Pahang dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan, tetapi dengan bersyarat.

Selain itu, Kedah, Selangor, JDT, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada pertandingan peringkat Asia.