Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipilih antara 99 badan sukan yang menerima 5 bintang dalam Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 menyaksikan sebanyak 99 badan sukan layak menerima penarafan bintang. Daripada jumlah itu, lima peratus adalah badan sukan peringkat Kebangsaan, sepuluh peratus badan sukan peringkat Negeri, 66 peratus badan sukan peringkat daerah dan 19 peratus badan sukan peringkat kelab.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hanya lima badan sukan sahaja yang diberi penarafan 5 bintang termasuk FAM.

“Hasil daripada penilaian ini juga mendapati lima badan sukan di peringkat kebangsaan berjaya menerima pengiktirafan lima bintang iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan akhirnya Persatuan Wushu Malaysia.

“Manakala 10 badan sukan lain meliputi pelbagai peringkat telah berjaya meraih penarafan empat bintang,” katanya.

Faizal Azumu juga menaruh harapan tinggi agar badan-badan sukan yang berjaya menerima penarafan bintang menjadi role model kepada badan-badan sukan lain untuk menyinar pada masa depan.

“Bagaimanapun, badan-badan sukan yang gagal menerima penarafan bintang hendaklah juga memainkan peranan lebih signifikan dan jadikanlah kejayaan badan-badan sukan lain sebagai kayu ukur untuk mencapai lebih kejayaan di masa depan.

“Malah, perkara paling asas adalah untuk melengkapkan syarat penilaian yang ditetapkan iaitu dengan menyediakan laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Hal ini kerana setakat 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 10,230 badan sukan yang masih tidak menepati syarat asas ini,” tegasnya.

Penarafan lima bintang itu diberi berdasarkan beberapa kriteria seperti dokumen laporan tahunan, pemeriksaan premis, laporan kewangan, minit mesyuarat tahunan, sistem penyusunan fail, rekod pentadbiran dan rekod perancangan dan pembangunan.

Sebelum ini, FAM turut memenangi anugerah sama apabila diiktiraf sebagai badan sukan dengan lima bintang bagi 2018, 2019 dan 2020.