Hasrat peminat tempatan untuk melihat kelibat pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi dalam skuad Harimau Malaya kini menjadi kenyataan apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan telah menerima surat rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Menurut surat tersebut, FIFA kini memberi kelulusan kepada FAM untuk menyenaraikan pemain tengah JDT itu dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan datang.

Liridon sepatutnya membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang UAE pada bulan Mac lepas, namun FAM ketika itu belum menerima lampu hijau daripada FIFA.

“Memang kalau diikutkan perlawanan dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dia (Liridon) sudah boleh main, tapi FIFA tak boleh keluarkan surat selagi dia tidak memenuhi syarat lima tahun (beraksi di Malaysia).

“Dia cukup syarat lima tahun pada 25 Mac lalu dan perlawanan kita berdepan UAE sepatutnya pada 26 Mac lalu. Selepas penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia, mereka (FIFA) keluarkan surat,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian. 

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: FAM

Pada bulan Februari lalu, pemain yang berusia 28 tahun itu telah mengangkat sumpah sebagai warganegara Malaysia melalui penaturalisasian dan turut menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Liridon merupakan pemain naturalisas kedua negara selepas tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh yang sempat beraksi dalam kejohanan Piala AFF bersama skuad negara pada tahun lepas.

Kehadiran Liridon juga memberi banyak pilihan kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk membentuk jentera tengah yang mantap selepas Brendan Gan digantung satu perlawanan menentang UAE.

Bagaimanapun, status proses naturalisasi penyerang Perak, Guilherme De Paula masih belum diketahui sehingga kini.

Baca juga artikel lain berkaitan perkembangan skuad Harimau Malaya yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

Brendan Gan Yakin Skuad Harimau Malaya Mampu Menewaskan UAE

Rating Pemain Naturalisasi Dan Kacukan Bersama Skuad Harimau Malaya

Nguyen Quang Hai Akui Malaysia Bukan Lawan Mudah, Tetapi Thailand Paling Bermasalah Untuk Vietnam