Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan akan menyumbang RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tujuan pembangunan bola sepak negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya pagi tadi. Ismail berharap sumbangan itu dapat membantu FAM melahirkan pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Dalam bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata kerana bola sepak negara hanya akan maju
apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik
negara.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga
individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail (Kejayaan tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan perancangan),” katanya
dalam ucapan rasmi.

Menurut perdana menteri, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara termasuk melalui Peta Hala Tuju atau
F:30 yang dilancarkan pada 2018.

Beliau berkata ia merupakan simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani.

Jelasnya sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari
daripada objektif asal mereka.

“Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata. Ia wajar menjadi agenda nasional,
dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan
fizikal,” katanya.

Ibu pejabat baharu FAM dijangka siap sepenuhnya pada awal 2025. Selain ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, FAM sedang dalam proses untuk membina Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) untuk skuad Harimau Malaya yang berkeluasan sekitar 52,000 meter persegi merangkumi padang latihan outdoor dan juga indoor.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Fernando Forestieri Jadi ‘Peneman’ Bergson Da Silva Di Jentera Serangan JDT

Hyuri Henrique Calon Pemain Import Kelima Selangor

Abang Kandung Anthony Martial Sah Sarung Jersi Sri Pahang