Arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020 kerana isu penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguh mulai 16 Mac lalu bakal dilanjutkan lagi penangguhannya untuk satu tempoh yang lebih lama.

Justeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) ingin menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 diminta untuk mengadakan perbincangan terbuka di antara pihak pengurusan dan pemain kelab masing-masing.

FAM

Sumber Gambar: FAM

“Berbanding daripada sekadar mengeluarkan kenyataan atau komen di media sahaja yang hanya akan menyulitkan lagi keadaan, adalah lebih baik pihak kelab atau pasukan berhubung terus dengan para pemain dan pegawai pasukan mereka untuk berbincang secara terbuka berkaitan perkara-perkara penting termasuk isu gaji, kontrak, kebajikan dan sebagainya.

“Dalam keadaan sekarang, FAM berharap agar kelab-kelab, para pemain dan pegawai dapat sama-sama menggunakan budi bicara dan bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekaligus mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.

“Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita ini.

“Pada masa yang sama, FAM dan MFL juga sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai. Jika ada masalah atau pertanyaan, boleh terus hubungi kami,” kata Stuart.

FAM

Sumber Gambar: Berita Harian

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, perbincangan di antara kelab dan pemain itu nanti bukan bermaksud semua pemain diminta untuk terus bersetuju dengan pemotongan gaji sepanjang tempoh saingan liga ditangguhkan ketika ini.

“Sebab itulah FAM dan MFL meminta pihak kelab dan pemain serta pegawai pasukan mengadakan perbincangan supaya mereka semua mencapai satu keputusan yang adil untuk semua pihak terbabit.

“Apa yang berlaku ketika ini bukan salah MFL selaku penganjur liga atau salah kelab yang turut kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penangguhan ini. Ia satu situasi berbeza yang belum pernah kita alami sebelum ini. Jadi saya rasa semua pihak termasuk pemain dan para pegawai akan memahaminya.

FAM

Sumber Gambar: JST

“Semua yang terlibat perlu mempunyai pandangan yang sama demi menjaga kepentingan bersama. Kita senang sama-sama, kita susah sama-sama,” kata Dato’ Ab Ghani.

Isu COVID-19 ini menyaksikan kelab-kelab serta para pemain dan pegawai di seluruh dunia turut sedang dan telah mengadakan perbincangan terbuka untuk berdepan tempoh sukar dan situasi yang tidak diingini ini secara bersama.

Sementara itu, FAM dan MFL akan memantau dari sehari ke sehari keadaan COVID-19 ini serta mengikut arahan semasa daripada kerajaan sebelum mengeluarkan jadual baharu Liga Malaysia 2020.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Penangguhan Liga Malaysia 2020 Dilanjutkan Mengikut Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Kantung Kewangan Kedah FA Sedikit Terjejas Akibat Wabak COVID-19

Pemain Perlu Bersikap Profesional Dan Berdisiplin Dalam Mengekalkan Tahap Kecergasan

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group