Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram, hari ini telah menghadiri satu sesi perbincangan dengan Pengarah Pengadil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shamsul Maidin di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menurut kenyataan rasmi, Dato’ Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah diberi penerangan terperinci daripada Shamsul mengenai perkembangan semasa penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Pengadil Profesional di liga-liga domestik di seluruh dunia.

Yang turut hadir, Ketua Unit Pengadil FAM, Haji Kassim Kadir Bacha dan Pengurus Projek AFC, Chang Seok Rhee.

FOTO: FAM

Mutu pengadilan Liga Malaysia sentiasa menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan setiap musim. Beberapa keputusan pengadil yang meragukan dalam setiap perlawanan mengundang pelbagai kontroversi sehingga menjejaskan rentak permainan.

Prestasi kurang memberangsangkan pengadil Liga Malaysia pernah menarik perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TMJ sebelum ini menggesa agar pengelola liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM  mempertimbangkan penggunaan VAR bagi memperbaiki mutu pengadilan. Di peringkat Asia Tenggara, hanya Liga Thailand paling aktif menggunakan VAR dan ia turut diikuti oleh Liga Vietnam.

Kos pemasangan VAR di satu stadium dianggarkan bernilai RM 616,710 dan memerlukan bajet RM7.4 juta jika mahu dipasangkan pada 12 stadium pasukan Liga Super.

Selain itu, para pengadil tempatan pula perlu dihantar menjalani kursus tambahan untuk mempelajari cara mengendalikan VAR agar tidak timbul sebarang masalah.

Liga Thailand sebelum ini pernah menghentikan penggunaan sistem VAR sekitar Januari 2018 elepas mengalami beberapa masalah terutamanya kurangnya kemahiran pegawai perlawanan serta menerima banyak aduan dari kelab yang beraksi.

Ketika itu, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) turut menawarkan kepada kelab-kelab yang berminat untuk menggunakan sistem VAR, boleh menghubungi mereka dan FAT akan menghantar wakil syarikat yang menjalankan operasi sistem VAR ke stadium. Namun, kelab perlu membayar harga penggunaan sistem itu sekitar RM394 hingga RM531.

Baca artikel lain mengenai isu pengadil dalam Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

FAM Mengaku Pengadil Buat Kesilapan Batalkan Jaringan Sri Pahang

TMJ Gesa Saingan Liga Malaysia Gunakan Khidmat VAR

Mutu Pengadilan Dipertikaikan, Melaka United Buat Aduan Rasmi Kepada FAM

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan