Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengakui bola sepak Malaysia masih kekurangan pemain yang berbakat dalam kalangan komuniti cina seperti mana yang kita pernah lahirkan pemain bintang seperti Dato’ Soh Chin Aun suatu ketika dahulu.

Katanya, FAM akan membantu dan bekerjama dengan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dalam mencari jalan mempromosikan bola sepak dalam kalangan komuniti Cina.

“Kami akan bekerjasama dengan MCFA dengan melancarkan program khas bagi menarik penyertaan lebih besar dalam kalangan komuniti Cina, sama ada sebagai pemain, pengadil, jurulatih mahupun pegawai.

“Bermula dengan era 70-an, kita mempunyai aset negara seperti Dato’ Soh Chin Aun, Wong Choon Wah kemudian Lim Chan Yew, Wong Sai Kong, Wong Kah Loon, Chan Wing Hoong, dan hari ini kita ada Dominic Tan dan Damien Lim.

“Kita juga ada Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong yang menyumbang tenaga dalam barisan kejurulatihan. Maka, kita perlu meningkatkan usaha bersama dalam mempromosikan lagi sukan ini dalam segala aspek,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook FAM.

73122608_2453031978126885_5831993794676916224_n
FOTO: FAM

Hari ini FAM menerima kunjungan hormat daripada delegasi MCFA yang diketuai oleh Presidennya Dato’ Jefferey Low Han Chau dan Timbalan Presiden, Dato’ Wilson Lau Hoi Keong bersama barisan kakitangan dan exco.

Kunjungan hormat ini adalah yang keenam, yang mana FAM sebelum ini turut mengadakan kunjungan hormat ke Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysian, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia dan akan ke negeri-negeri lain secara berperingkat selepas ini.

Dalam sesi perbincangan bersama MCFA, FAM diberitahu bahawa punca utama kepada kekurangan pemain Cina dalam arena bola sepak negara adalah disebabkan ibu bapa yang tidak faham akan ekosistem sukan ini.

Ibu bapa tidak memahami bahawa bola sepak juga mampu membuka laluan kepada kerjaya lain seperti peluang perniagaan – pembekal peralatan bola sepak dan ejen bola sepak umpamanya.

72824567_2453032201460196_2405516285187194880_n
FOTO: FAM

Selain itu MCFA menekankan pentingnya melahirkan pemain cina dari akar umbi seterusnya menarik penyertaan dan paling penting minat mereka dalam pertandingan peringkat sekolah.

Lantaran itu, Datuk Haji Hamidin berkata FAM akan memberi pandangan dalam semua aspek terutama dalam membantu mendidik ibu bapa bagi meningkatkan penyertaan kaum Cina dalam bola sepak.

“Kita bukan sahaja akan memberi pandangan namun membuka perbincangan telus serta terbuka agar ahli gabungan terus terbela dalam usaha memacu bola sepak negara.

“Menerusi sesi dialog di sini, kami berpeluang berinteraksi dengan lebih dekat dengan persatuan mahupun ahli gabungan serta mendengar segala isu dibangkitkan untuk diselesaikan bersama,” tambah Datuk Haji Hamidin.

Lihat artikel lain berkaitan dengan perkembangan pasukan kebangsaan Malaysia yang mungkin anda terlepas pandang.

FAM Atur Perlawanan Pemanas Badan Dengan Tajikistan Menjelang ‘Laga’ Thailand Dan Indonesia

Skuad Malaysia B-18 Dapat Pengalaman Yang Berguna Di Dubai

Pemain Mungkin Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Lebih Awal