Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencadangkan gol pemain pertahanan negara, Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018 menentang pasukan Thailand kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas 2019.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dimana menurut beliau pihaknya sudah mencadangkan kepada FIFA untuk memasukkan gol pemain berusia 21 tahun itu dalam senarai untuk anugerah Puskas. Namun, sehingga saat ini FIFA sendiri masih lagi belum memberikan sebarang maklum balas mengenai cadangan yang dihantar FAM.

Jaringan tersebut dianggap unik dan layak untuk diangkat sebagai jaringan terbaik dunia apabila gerakan sebelum menghasilkan gol itu melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan oleh pemain muda Selangor itu menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-28 sekaligus menewaskan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Menurut Stuart, FAM yakin gol tersebut akan tersenarai dalam 10 gol terbaik dunia dan sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan, badan induk bola sepak negara itu akan melancarkan satu kempen untuk peminat bagi mengundi jaringan Syahmi Safari.

“Bila keluar senarai pendek (nama Syahmi tersenarai) dari FIFA, baru kita akan mulakan mengundi tapi sekarang belum lagi.

“Apabila FIFA mengesahkan kepada FAM nanti, kita akan umumkan dan penyokong dah boleh mengundi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pada 2016, Malaysia menjadi sebutan peminat bola sepak antarabangsa dimana pemain Pulau Pinang ketika itu, Mohd Faiz Subri berjaya memenangi Anugerah Puskas apabila jaringan sepakan percuma beliau yang menentang hukum fizik ketika bertemu pasukan Pahang dalam saingan Liga Super berjaya mendapat undi terbanyak.

Faiz lebih unggul apabila menduduki beliau menduduki tangga pertama dengan undian sebanyak 59.46% dihadapan pemain dari Brazil yang beraksi bersama Corinthians, Marlone (33.3%) dan pemain skuad bola sepak wanita Venezuela bawah 19 tahun, Daniuska Rodriguez (7.1%).

Jika jaringan Syahmi berjaya memasuki senarai 10 gol terbaik dunia, maka beliau akan menjadi pemain Malaysia kedua setelah Faiz Subri sekaligus mencipta sejarah yang tersendiri untuk bola sepak Malaysia.