Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, menerima undangan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad bin Khalifa bin Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden QFA, Saud Abdulaziz al-Mohannadi dan Setiausaha Agung, Mansour al-Ansari.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama membangunkannya demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Qatar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden QFA yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Qatar.

Saya yakin ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sumber Gambar: FAM

Selain itu, Hamidin turut menerima undangan kunjungan hormat ke atas Presiden FIFA, Gianni Infantino di Doha, Qatar, bagi membincangkan pelbagai aspek pembangunan bola sepak.

Dalam pertemuan terbabit, beliau memaklumkan kepada Infantino mengenai prestasi pasukan kebangsaan dan pembangunan bola sepak Malaysia. Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak.

“Terima kasih kepada Infantino yang meluangkan masa beliau dan sentiasa mengambil berat dan menyokong bola sepak Malaysia.

“Bola sepak tidak akan berkembang di mana-mana negara tanpa sokongan FIFA,” katanya.

FAM adalah antara negara ahli gabungan yang turut serta dalam Program FIFA Forward iaitu mekanisme FIFA dalam memperkasakan negara anggota.

Ia merangkumi sokongan FIFA dalam pembangunan bola sepak, futsal dan wanita di Malaysia dan juga pembinaan Ibu Pejabat FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya.