Berkaitan dengan insiden pergaduhan yang berlaku pada penghujung perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia B-23 bertemu UAE B-23 di Stadium Shah Alam malam tadi, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam melalui satu kenyataan media di laman sosial rasmi Facebook FAM, beliau dan Presiden FAM Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah melakukan tindakan yang sewajarnya.

Menurut kenyataan media tersebut, mereka telah berbincang dengan Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan juga naib presidennya, Abdulla Naser Al Jneibi serta Dato’ Windsor John selaku Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Hasil dari perbincangan tersebut UAE FA telah menghantar satu surat rasmi kepada FAM menyatakan mereka meminta maaf di atas insiden pergaduhan terbabit dan mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan melakukan siasatan dalaman bagi tindakan diambil kepada pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terlibat.

FAM akan mengemukakan laporan daripada Kommisioner Perlawanan (MC) dan juga pengadil kepada AFC pada hari ini dan seterusnya akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak.