Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan rasmi telah mengarahkan sekretariat FAM untuk membincangkan isu pemain naturalisasi yang dilihat tidak memberi impak seperti diharapkan ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022.

Peminat bola sepak tempatan baru-baru ini mengkritik prestasi Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi yang gagal membantu skuad Harimau Malaya mencatat keputusan positif dalam perlawanan menentang UAE dan Vietnam.

“Berkaitan isu pemain naturalisasi, saya telah mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini,” kata Hamidin dalam satu kenyataan rasmi.

Hamidin turut memberi maklum balas mengenai permintaan pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) untuk menguruskan pasukan kebangsaan dengan menyediakan fasiliti serta jurulatih yang terbaik.

TMJ kali ini sedia menawarkan khidmatnya untuk membantu meningkatkan prestasi Harimau Malaya namun tidak menjanjikan kejayaan segera.

“Pertama, saya menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung skuad kebangsaan, Harimau Malaya, tempoh hari.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” jelas Hamidin.

Hamidin juga memberi jaminan semua perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan dan kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatanakuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan.

“Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh post-mortem daripada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan, mengenai persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta persediaan awal pasukan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari 2022 untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan datang,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

TMJ: “Kepada Presiden FAM, Izinkan Saya Menguruskan Pasukan Kebangsaan”

Safawi Mohon Maaf Mengenai Cara Raikan Gol Ketika Berdepan Thailand

FIFA Ranking: Malaysia Berjaya Kumpul 0.79 Mata Secara Keseluruhan Dari 4 Perlawanan