Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka akan mengadakan mengadakan perbincangan mengenai insiden Natxo Insa yang menolak pengadil pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak di Ipoh pada Khamis ini.

Sebelumnya, insiden yang melibatkan pemain tengah JDT itu tidak dibincangkan dalam persidangan pertama Jawatankuasa Tatatertib FAM baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan ianya bukan proses untuk melengahkan atau mempercepatkan tetapi ia proses di mana setiap pemain, pegawai dan pasukan mempunyai hak untuk membela diri.

“Di sini, tuntutan atau sesuatu keputusan tidak boleh dikeluarkan semata-mata untuk mengambil keputusan. Kes Natxo adalah kes yang paling pantas berbanding empat kes sebelum ini yang mengambil masa selama 18 hari, 16 hari, 13 hari dan 13 hari.

“Jadi, untuk makluman media dan peminat bola sepak negara, proses perundangan dan tatatertib adalah proses di mana setiap orang mempunyai hak masing-masing untuk didengar, afidavit untuk diserahkan dan pembelaan diri untuk dikemukakan kepada FAM,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

FAM setakat ini telah menjatuhkan hukuman kepada empat pemain iaitu Jack Raymond Hindle, Khairil Anuar (PJ City), Alex Goncalves (Melaka United) dan Hein Htet Aung (Selangor).

Khairil Anuar yang didapati bersalah “berlakon” untuk mendapatkan sepakan penalti digantung dua perlawanan iaitu PJ City FC bertemu Terengganu FC (2 April 2021) dan Kuala Lumpur City FC (7 April 2021).

Hein Htet Aung turut digantung satu perlawanan selepas melakukan kesalahan mempamerkan simbol yang berbaur politik (3 jari) semasa perlawanan menentang PDRM FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Zamsaham: Bekas Pemain Keluarkan Kenyataan Di Media Sosial Terlebih Dahulu

Nafuzi Zain Lega David Da Silva Kembali Cergas

Tiada Jualan Tiket Untuk Perlawanan JDT Menentang Melaka United