Ketenangannya dalam menyudahkan peluang serta kemahiran individu yang sering memukau peminat sentiasa menjadi senjata utama buat legenda futsal dunia, Falcao setiap kali beliau beraksi di gelanggang.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pemenang saingan Piala Dunia Futsal 2008 dan 2012 itu adalah antara bakat unggul dalam kancah sukan lima sebelah ini.

Pelbagai kejayaan peribadi telah diraih Falcao yang kini sudah menjengah usia 44 tahun dimana beliau turut merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak dalam kempen Piala Dunia Futsal [48 gol] serta turut menjadi pemain dengan penampilan terbanyak bagi saingan futsal paling berprestij di dunia itu.

Selain itu, Falcao turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia bagi tahun 2004, 2006, 2011 dan 2012.

Antara aksi menarik dipamerkan Falcao. Kredit Foto: Falcao 12

Meskipun pada peringkat awal karier, Falcao sudah pun membuktikan kemampuan dalam futsal, beliau sebenarnya mengimpikan untuk beralih ke bola sepak profesional bagi menyarung jersi kelab kegemarannya sejak dari kecil iaitu Santos.

Harapan menggunung pemilik nama penuh Alessandro Rosa Vieira tidak kesampaian apabila beliau gagal untuk menarik perhatian jurulatih ketika itu.

‘Rezeki memang tidak salah alamat’, itulah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan Falcao apabila beliau telah ditawarkan kontrak selama enam bulan oleh Sao Paulo.

Angin mendung bagaimanapun menyelubungi karier bola sepak Falcao apabila beliau hanya mampu membuat 13 penampilan bersama pasukan berikutan beberapa masalah yang dihadapinya bersama jurulatih Sao Paulo ketika itu, Emerson Leao.

Falcao sewaktu beraksi bersama skuad Legenda Sao Paulo bertemu Legenda Bayern Munich. Kredit Foto: Falcao 12

Keadaan tersebut menyaksikan beliau terpaksa memilih untuk kembali ke lapangan futsal pada 14 April dimana Jaragua menjadi kelab baharunya.

Tidak mahu mengenang kembali kisah silam yang mengecewakannya, Falcao mempamerkan kemampuan hebat dengan menjadi antara peledak berbisa buat pasukan baharunya itu.

Selepas lima tahun, Falcao dipancing skuad futsal Santos bagi menghadapi musim 2011 tetapi jodoh bersama kelab kegemarannya itu tidak kekal lama selepas pasukan futsal dan bola sepak wanita kelab tersebut terpaksa dibubarkan kerana mahu menjimatkan kos dalam usaha mereka untuk mengekalkan Neymar yang menjadi buruan kelab ternama dunia pada ketika itu.

Falcao lebih banyak menghabiskan masa beraksi di Brazil dan hanya pada lewat karier beliau memilih untuk beraksi di Jepun dan dijemput ke India untuk bersama Chennai 5s.

Pada 8 Disember 2018, Falcao telah mengumumkan persaraannya dalam saingan domestik. Kelab terakhir diwakilinya adalah Magnus Futsal yang beraksi di Liga Futsal Nasional Brazil.

Kegemilangan bersama skuad kebangsaan Brazil

Sebagai seorang pemain sudah pastinya kejayaan menjulang trofi Piala Dunia menjadi antara detik terhebat dalam karier mereka. Perkara sama turut dirasai Falcao yang melakukannya pada 2008 dan 2012.

Lebih manis, kejayaan 2008 dilakarkan di negara kelahirannya sendiri apabila Brazil merupakan tuan rumah pada edisi tersebut.

Pada aksi Piala Dunia 2004 di Chinese Taipei, beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak setelah menghasilkan 13 gol, yang menyaksikan Brazil menamatkan saingan di tempat ketiga.

Falcao telah membuat penampilan dalam lima kempen Piala Dunia iaitu bermula pada tahun 2000 di Guatemala, 2004 (Chinese Taipei), 2008 (Brazil), 2012 (Thailand) dan 2016 di Colombia.

Susulan pencapaian hebat ditampilkan sepanjang kariernya, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut mengiktiraf Falcao apabila menganugerahkan ‘FIFA Award For An Oustanding Career’ pada tahun 2016.

Falcao telah membuat 201 penampilan bersama skuad futsal Brazil dan menjaringkan 339 gol sepanjang karier antarabangsa.