Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kelebihan fizikal yang dimiliki oleh pemain yang berdarah kacukan dan naturalisasi merupakan antara faktor utama mengapa mereka menjadi pilihan untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak bermakna pemain itu mendapat tiket automatik dalam skuad kebangsaan kerana prestasi mereka perlu dinilaikan dalam saingan liga domestik.

“Kemungkinan sesetengah pemain kami nilai menerusi fizikal yang dimiliki tetapi disebabkan liga yang tidak kompetitif, saya rasa ia juga menjadi faktor utama. Jadi, saya rasa kami perlu mengenali pemain daripada setiap sudut. Kami tidak boleh terus pilih untuk mewakili skuad kebangsaan.

“Kami perlu ambil beberapa proses pemilihan dan perbincangan untuk memastikan mereka betul-betul layak untuk skuad negara,” jelasnya dipetik dalam Stadium Astro. 

Tan Cheng
Sumber Gambar: PFAM

Baru-baru ini, dua pemain asing iaitu Marcel Kalonda dan Harry Edge menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila mereka dikatakan mempunyai darah campuran Malaysia untuk dijadikan sebagai pemain berstatus warisan negara.

Kalonda dan Harry beraksi di posisi pertahanan dan mempunyai ketinggian 1.80 meter ke atas. Kelebihan fizikal tersebut dikatakan mampu membantu skuad kebangsaan untuk bersaing dengan lawan yang lebih kuat di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata pihaknya sudah pun menghubungi dua pemain itu dan sedang menunggu beberapa dokumen untuk dinilaikan.

Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan badan induk bola sepak negara itu telah menerima banyak maklumat daripada ejen bola sepak mengenai senarai pemain asing yang berminat untuk menyarung jersi negara.

“Terlalu banyak pemain yang mendakwa mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi maklumat daripada ejen. Tetapi mereka masih tidak dapat menunjukkan bukti dokumen yang sah.

“Kami tidak akan layan kes seperti itu kerana perlu ikut peraturan ketat FIFA. Kebiasaannya pemain akan dipanggil selepas mereka menunjukkan dokumen yang sah sebelum mengambil langkah yang seterusnya,.

“Kami perlu tahu apa niat mereka dan adakah mereka sanggup memberikan komitmen 100 peratus demi Harimau Malaya. Hanya mereka yang sanggup berkorban dan berjuang sahaja layak sarung jersi negara,” katanya dipetik dalam New Straits Times. 

Baca artikel lain mengenai pemain kacukan dan naturalisasi pasukan negara di sini:

Kobe Chong: Satu Penghormatan Besar Untuk Wakili Malaysia

Malaysia Bakal Punyai Pemain Pertahanan Asean Termahal Jika Johan Dion Cools Sarung Jersi Harimau Malaya

FIFA Benarkan Liridon Krasniqi Sarung Jersi Harimau Malaya Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022