Bagi kebanyakan peminat, bola sepak adalah lebih dari sebuah sukan. Bola sepak mampu menyatu padukan komuniti, mengumpulkan ramai penduduk tanpa mengira bangsa, kaum dan agama dibawah satu bendera serta membawa sesetengah individu keluar dari kemiskinan.

Di Indonesia, bola sepak sepak juga lebih dari sebuah sukan tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan menonton bola sepak disana, kita sedang terdedah kepada risiko untuk terbunuh angkara pergaduhan yang sering berlaku.

Permusuhan yang cukup menebal diantara penyokong pasukan dan keganasan yang acap kali berlaku ketika perlawanan berlangsung, para pemain sering kali terpaksa dibawa masuk ke stadium menggunakan Barracuda serta diiringi oleh pasukan keselamatan yang mengawal ketat keadaan sekeliling.

10794094-3×2-700×467

Dalam sebuah artikel yang dikeluarkan oleh ASEAN Today pada 15 April 2019, menyatakan bahawa insiden terbaru kematian akibat keganasan itu berlaku kepada seorang penyokong Persija Jakarta, Haringga Sirla yang telah dipukul sehingga maut oleh penyokong Persib Bandung.

Saingan liga telah dihentikan selama 2 minggu selepas kejadian itu, namun keganasan bola sepak masih juga berlaku di venue perlawanan selepas itu.

Sejak tahun 1994, keganasan bola sepak di Indonesia telah meragut 74 nyawa. Negara ini telah menerima reputasi sebagai salah sebuah negara bola sepak paling ganas di Asia!

Daripada data dan statistik yang dikeluarkan oleh Data to Visual melalui laman sosial Instagram mereka, menunjukkan jumlah kematian penyokong bola sepak di Indonesia dari tahun 1995 hingga 2018 adalah seramai 68 orang.

Persebaya merekodkan jumlah kematian paling tinggi sepanjang tempoh itu apabila 16 penyokong mereka maut, hampir 2 kali ganda dari jumlah yang dicatatkan oleh pasukan Arema.

Berdasarkan data ini juga, sebanyak 21 buah kelab telah sekurang-kurangnya merekodkan 1 kematian penyokong mereka dengan majoriti kelab tersebut berada di Pulau Jawa. 4 mangsa dari jumlah kematian keseluruhan itu adalah ketika perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan Indonesia.

Permusuhan Tiada Sempadan Dan Terlalu Dalam

Kebencian yang paling gila dalam bola sepak Indonesia boleh dilihat dengan jelas terutama diantara penyokong Persija Jakarta yang dikenali sebagai ‘Jak Mania’ dan penyokong Persib Bandung yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘The Viking’ atau ‘Bobotoh’.

7 orang penyokong bola sepak telah maut hanya dalam pertemuan 2 buah kelab ini sahaja dalam tempoh 7 tahun terkini mengikut laporan ABC News.

10799046-3×2-940×627

Irlan Alarancia, ketua kelab penyokong ‘Garis Keras’ Persija Jakarta

Menurut seorang ‘komander’ kepada sebuah kelab penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Garis Keras’, Irlan Alarancia memberitahu bahawa tahap fanatik penyokong telah bertukar menjadi satu keganasan yang tidak boleh dikawal lagi.

10794122-3×2-700×467

Ahli-ahli remaja kelab penyokong Jak Mania dibawah kumpulan yang diterajui oleh Komander Irlan Alarancia, Garis Keras, berlatih untuk persediaan perlawanan seterusnya.

“Sekarang, saya perlu cuba menenangkan keadaan. Jika kami biarkan, ia akan menjadi lebih bahaya.”, katanya.

“Rivalry kami sudah melampaui batas”.

Sistem tiket juga merupakan satu masalah besar yang menjurus kepada kejadian yang tidak diingini di stadium. Ramai penyokong bola sepak di Indonesia menonton perlawanan tanpa membeli tiket. Mereka berjaya lolos masuk ke stadium melalui ‘lorong tikus’.

Berdasarkan maklumat dari pegawai Persib Bandung, pada malam tragedi kematian Harringa, lebih 50,000 orang berada dalam stadium yang hanya mampu memuatkan 38,000 orang.

Dan yang lebih menarik, hanya 36,000 tiket terjual!

Tidak Percaya Kepada Persatuan Bola Sepak Dan Pihak Berkuasa

Bekas pengerusi PSSI, Edy Rahmadi yang meletakkan jawatan tidak lama selepas tragedi Harringa, melabelkan penyokong bola sepak Indonesia sebagai tidak bertamadun, hati tisu, dan bersifat anak-anak.

10794084-3×2-940×627

Akmal Marhali – NGO Save Our Soccer (SOS)

Namun, Akmal Marhali bekas seorang jurnalis yang kini mengetuai sebuah badan NGO Save Our Soccer (SOS),  menyatakan bahawa ketika zaman Edy Rahmadi, 19 orang telah maut sejak beliau memegang jawatan tersebut. 13 daripada kejadian tersebut berlaku didalam stadium.

Pada 25 Mac 2019, pemangku Pengerusi PSSI Joko Driyono dan 15 lagi pegawai telah ditahan oleh pihak berkuasa atas tuduhan salah laku terlibat dalam skandal match-fixing, mencetuskan kemarahan penyokong serta menghancurkan keyakinan orang awam terhadap PSSI.

Ada cadangan untuk  menambah baik sistem tiket dengan merekodkan butiran pembeli namun mereka menghadapi beberapa masalah. Pertama, sistem seperti itu memerlukan kerjasama dari pihak kerajaan yang sehingga kini dilaporkan tidak berminat membantu.

Kedua, ramai penyokong tidak membeli tiket perlawanan kerana mereka masih boleh masuk ke dalam stadium tanpa dikesan oleh pihak petugas. Mereka sebenarnya perlu menangani masalah masuk ke stadium secara haram sebelum mahu menggunakan apa juga sistem penjualan tiket.

Denda Yang Berat Tidak Mampu Selesaikan Masalah Ini

Pelbagai denda yang berat telah dikenakan untuk menyelesaikan masalah ini seperti bermain dalam stadium kosong bagi perlawanan berisiko tinggi, tetapi tetap gagal menghentikan keganasan.

Bambang Pamungkas, bintang pasukan Persija Jakarta turut bersetuju dengan perkara itu.

“Denda bukan lagi cara efektif menghukum kelab.”

Beliau juga mencadangkan PSSI memotong mata dari pasukan yang penyokong mereka terlibat dalam keganasan.

“Jika penyokong mahu pasukan mereka berjaya, maka mereka perlu berkelakuan lebih baik.”

Bekas pemain pasukan Selangor itu juga turut bersetuju dengan cadangan penggantungan perlawanan liga sehingga keadaan menjadi aman.

“Jika kecelakaan masih berlaku, saya fikir bola sepak bukan untuk Indonesia.”

Keganasan dalam bola sepak di Indonesia perlu dihentikan, atau negara itu sudah perlu mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak!

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group