Pemain berpengalaman Liga Malaysia, Ahmad Fakri Saarani sah menyertai pasukan Kuala Lumpur bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Perpindahan Fakri diumumkan oleh skuad Ibu Kota menerusi laman media sosial rasmi pasukan dan rata-rata peminat setia Kuala Lumpur menyambut baik kedatangan bekas penyerang skuad kebangsaan itu.

Pemain yang sinonim dengan gelaran Lord Fakri ini sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam saingan Liga Malaysia. Fakri telah beraksi untuk 9 pasukan antaranya Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Harimau Muda, Felda United, Kedah, Kelantan, Melaka United dan satu kelab Portugal iaitu Atletico SC.

Musim lalu, Fakri yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 beraksi bersama Melaka United. Beliau tampil dalam 11 perlawanan bersama Melaka namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Fakri Melaka United
Sumber Gambar: BH

Kehadiran Fakri bermakna ada dua senario yang bakal berlaku. Yang pertama, beliau akan menjadi back up sekiranya penyerang utama pasukan, Guilherme De Paula tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.

Satu lagi senario ialah ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt menggandingkan Fakri dan Guilherme di bahagian serangan pasukan.