Penyerang Kelantan United, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, bukan sahaja gembira kerana dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga M3 2019 tetapi tidak menjangka dapat meledak kira-kira 28 gol dalam 26 perlawanan liga musim ini.

Malah itu tidak termasuk tujuh lagi angka jaringan dibuat oleh pemain berusia 25 tahun ini dalam tiga aksi membabitkan saingan Piala FA yang menjadikan secara keseluruhan dia mengumpul 35 gol.

Menurut bekas pemain Kelantan ini, apa yang lebih mustahak adalah kejayaan pasukan yang menyaksikan Kelantan United muncul juara sulung Liga M3.

Fakhrul Zaman
Fakhrul Zaman

“Apa-apapun rasa bersyukur sangat kerana dapat jaringkan 28 gol kerana kalau mahu diikutkan saya letak sasaran dalam satu perlawanan, saya mahu jaringkan satu gol sahaja.

“Sememangnya saya tidak menjangka dapat menjaringkan lebih daripada dua gol yang ditetapkan dan memenangi anugerah penjaring terbanyak pada kali ini, ” katanya.

Fakhrul berjaya mengatasi rakan sepasukan, Gassama Alfusainey, dengan perbezaan satu gol sementara pemain Armed Forces, Rafizol Roslan dan penyerang Ultimate FC, Chukwu Nnaibuke masing-masing di tangga ketiga dengan 22 gol dalam senarai penjaring.

Kelibat Fakhrul mula menjadi buah mulut peminat Kelantan United selepas agak tenggelam ketika bersama Kelantan dari musim 2016 hingga 2018 ekoran jarang mendapat tempat dan sentiasa diletakkan selaku pemain sayap kanan.

Fakhrul Zaman
Fakhrul Zaman. Sumber Gambar: MFL

Dalam pada itu, Fakhrul mengakui tidak meletakkan tekanan pada dirinya sebelum perlawanan terakhir berdepan Armed Forces mengenai peluang bergelar penjaring terbanyak Liga M3.

“Sebelum perlawanan, saya adalah berkata sesuatu dan bergurau dengan dia (Gassama) tetapi kami tidak kisah pun sesiapa yang jaringkan gol dalam perlawanan tadi. Yang penting adalah pasukan dan bersyukur kerana kami sekurang-kurangnya dapat keputusan seri namun paling penting kami dapat menjulang trofi, ” katanya.

Mengenai aksi dengan Kelantan United musim depan, Fakhrul berkata, dia tidak boleh berasa terlalu selesa kerana pentas Liga Premier menuntut komitmen berbeza.

“Sememangnya saya mahukan kejayaan lebih besar dalam karier dan saya kena bekerja lebih keras lagi kerana dalam saingan Liga Premier jauh berbeza dengan Liga M3,“ katanya.

Baca artikel lain mengenai Fakhrul Zaman dan Kelantan United di sini:

Fakhrul Zaman Akui Terima Tawaran Dari Pasukan Liga Super, Berat Hati Tinggalkan Pasukan Kelantan United

Kejayaan Kelantan United Julang Trofi Liga M3 Ubati Kerinduan Piya