Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari mendedikasikan dua jaringan yang dihasilkan ketika membantu Malaysia menundukkan New Zealand 3-2 sebentar tadi buat bapanya, Allahyarham Saari Zakaria.

Selepas dilihat sedikit kurang berkesan pada dua perlawanan awal bertemu Belanda dan Chile, Faizal yang sebelum ini berkelana ke Belanda membuktikan kemampuannya dengan menjaringkan dua gol padang pada minit kesembilan dan ke-57.

Lebih manis, gol kedua peribadinya itu turut menghadiahkan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara sekali menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua dengan enam mata.

“Januari merupakan bulan ulangtahun kelahiran saya dan arwah bapa saya. Semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran arwah bapa saya.”

“Dan kalau dia ada pastinya dia sangat gembira,” ujar Faizal Saari bercakap selepas perlawanan menurut sumber video dimuatnaik oleh wartawan sukan tanah air, T. Avineshwaran.

Allahyarham Saari yang merupakan penyokong utama Faizal dan adiknya, Fitri sehingga bergelar pemain hoki bertaraf dunia disahkan meninggal dunia pada 28 Jun 2021 selepas mengalami angin ahmar di bahagian otak, seminggu sebelum itu.

Sementara itu dalam perkembangan mengenai kempen skuad hoki negara di India, anak buah Arul Selvaraj itu akan menanti pasukan ditangga ketiga saingan kumpulan D antara England, India atau Sepanyol untuk beraksi dalam peringkat ‘cross-overs’.

Kedudukan terbaik pernah dicatatkan skuad negara selepas sukan hoki beralih daripada padang rumput ke permukaan AstroTurf’ adalah pada edisi 2002 di Kuala Lumpur dimana skuad kendalian Paul Lissek itu berada di tempat kelapan.