Pemain lincah pasukan Selangor, Faiz Nasir berada dalam prestasi terbaik ketika ini dimana beliau berjaya menjaringkan gol pertama untuk Malaysia ketika membantu pasukan negara menduduki tempat ketiga dalam kejohanan Piala Airmarine 2019 dan menjaringkan gol kemenangan Selangor ketika bertemu Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2019 minggu lalu.

Penyenaraian Faiz dalam pasukan kebangsaan buat pertama kali bagi menghadapi kejohanan Piala Airmarine 2019 nyata memberikan inspirasi tambahan buat pemain berusia 26 tahun itu. Penantian Faiz nyata berbaloi apabila jaringan dari luar kotak penalti pada separuh masa pertama memastikan Malaysia menewaskan pasukan Afghanistan sekaligus menduduki tempat ketiga.

Bersama Selangor, setelah menunggu enam perlawanan bagi menjaringkan gol sulung untuk pasukan barunya, Faiz akhirnya menarik nafas lega apabila beliau berjaya menemui sentuhan jaringan ketika berdepan dengan bekas pasukannya sekaligus memberikan kemenangan kedua skuad The Red Giants dalam saingan Liga Super 2019.

Melihat kepada prestasi semasa Faiz Nasir, pemain bertubuh kecil ini bakal menggalas tugasan penting khususnya di jentera serangan Selangor pada saingan Piala FA dan juga baki saingan Liga Super musim 2019.

Ini kerana penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia terpaksa berehat selama 4 bulan akibat kecederaan yang dialami ketika Selangor menewaskan seteru Lembah Klang, Kuala Lumpur di Cheras bulan lalu.

Penyerang yang berasal dari Sepanyol itu hanya akan kembali memperkuatkan pasukan apabila saingan liga sampai ke penghujungnya dan sementara itu, Faiz boleh tampil dan membuktikan bahawa beliau mampu untuk menggalas cabaran pasukan.

Untuk menghadapi pasukan Kelantan dalam saingan Piala FA di Kota Bharu malam ini, ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan berkemungkinan besar akan mengekalkan empat pemain di bahagian serangan yang diturunkan pada perlawanan minggu lalu. Empat pemain yang dimaksudkan ialah Faiz Nasir, Sandro Da Silva, Syazwan Zainon dan ketua pasukan, Amri Yahyah.

Faiz akan beraksi di posisi sayap kanan manakala Syazwan Zainon pula akan mengisi posisi sayap kiri. Amri dan Sandro akan bergandingan di bahagian serangan sekaligus bertanggungjawab untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan mencari jaringan.