Tonggak sayap Kelab Bolasepak Terengganu (TFC), Mohd Faisal Abdul Halim mengakui beliau tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan PJ City FC pada aksi keenam saingan Liga Super Malaysia 2021, esok.

Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu menjadi medan berguna buat skuad bimbingan Nafuzi Zain itu untuk segera bangkit daripada kekalahan yang dialami ketika menentang Sabah tempoh hari.

Keputusan 1-2 dicatatkan di Stadium Likas tersebut sekali gus telah mencalarkan rekod tanpa kalah TFC dalam saingan liga musim ini selepas mengharungi lima perlawanan dan terdapat keputusan pengadil yang jelas tidak begitu disenangi Nafuzi.

Menurut sumber laporan Berita Harian (BH) Online, Faisal yang baharu sahaja pulang daripada latihan pusat skuad kebangsaan di Johor Bahru menyimpan tekad untuk memberikan sumbangan berkesan buat pasukannya.

“Saya kian bersemangat selepas pulang daripada menjalani sesi pemilihan bersama pasukan kebangsaan. Saya harap dapat memberikan sesuatu yang bermakna buat pasukan pada aksi Jumaat ini.”

“Lagipun pasukan juga sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk bertarung dengan PJ City FC selepas hampir dua minggu tidak beraksi kerana tempoh rehat.”

“Namun kita tahu, lawan adalah pasukan yang liat untuk ditewaskan berdasarkan lima perlawanan setakat ini,” ujar Faisal Halim menurut laporan BH Online.

TFC sudah pastinya tidak akan mendapat laluan mudah pada perlawanan esok kerana PJ City FC meskipun dibarisi keseluruhan pemain tempatan telah menunjukkan mereka juga memiliki kualiti hebat untuk bersaing hebat dengan pasukan lain.

Ia dibuktikan apabila skuad bimbingan P. Maniam itu kini menghuni tangga kelima hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan bagi mengumpul lapan mata.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Danial Ashraf Harap Peluang Lebih Cerah Untuk Bantu Penang FC

Jerman Dimalukan Macedonia Utara, Low Kritik Kegagalan Werner Ini Sebagai ‘Turning Point’

Junior Eldstal Mahu Kembali Beraksi Bersama Pasukan Kebangsaan

Sumber