Pemain skuad bawah 23 tahun negara, Faisal Halim semakin mendapat perhatian setelah beliau menampilkan aksi cemerlang ketika membantu pasukan negara dalam kempen kelayakan AFC Bawah 23 Tahun minggu lalu.

Selepas kempen kelayakan tamat dan pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal untuk layak ke pusingan akhir di Bangkok tahun hadapan, Faisal kembali ke pangkuan pasukan negeri beliau iaitu Pahang bagi meneruskan aksi dalam saingan Liga Malaysia. Pada perlawanan menentang Felda United dalam saingan Liga Super 2019 minggu lalu, pemain yang mesra disapa Mickey ini bermula dari bangku simpanan dan hanya dimasukkan pada separuh masa kedua. Faisal berjaya memperagakan aksi yang baik dan beliau turut menyumbang satu gol pada minit-minit terakhir permainan apabila larian deras beliau berjaya menewaskan benteng pertahanan dan penjaga gol Felda.

Berdasarkan peningkatan yang ditampilkan oleh Faisal, beliau sememangnya layak untuk mendapat lebih banyak peluang bagi tampil dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah. Sebelum ini, Faisal Halim lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan beliau menjadi pilihan kedua dibelakang Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani. Untuk seorang pemain muda seperti beliau, minit permainan yang cukup amat penting bagi memastikan seseorang pemain itu dapat meningkatkan lagi mutu serta kualiti permainan yang dimiliki.

Jika Mickey mendapat minit bermain yang cukup dan beraksi secara kerap bersama Pahang, tidak mustahil pemain berusia 21 tahun ini berada di satu taraf dengan pemain muda yang telah menempa nama dan mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab masing-masing seperti ketua pasukan skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid dan rakan sepasukan Safawi di Johor Darul Ta’zim Akhyar Rashid.

Dengan adanya lebih ramai pemain sayap berkualiti dalam saingan Liga Malaysia, perkara ini sekaligus dapat membantu pasukan senior negara dimana ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mempunyai pilihan yang lebih ramai serta tidak perlu risau jika beliau perlu membuat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan.

Bakat yang dimiliki oleh Faisal tidak seharusnya kita sia-siakan kerana beliau berpotensi untuk menjadi pemain sayap terbaik negara pada masa akan datang.