Pemain sayap pasukan Pahang, Faisal Halim mengakui beliau terkejut apabila namanya disenaraikan dalam barisan untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Nepal serta perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pusingan pertama menentang Timor Leste.

Pemain berusia 22 tahun itu tidak menjangka beliau akan dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi menjalani latihan pusat sekaligus beraksi bersama pasukan senior.

Faisal Halim
Sumber Gambar: Goal.com

“Pada mulanya, saya tidak percaya apabila Sumareh menghubungi dan mengucapkan tahniah kerana terpilih. Ketua pasukan, Matthew Davies juga memberikan kata semangat dan dia meminta saya menggunakan peluang ini sebaik mungkin kerana lebih banyak pengalaman boleh diperoleh sebaik menyertai dan beraksi bersama skuad senior.

“Walaupun pada awalnya saya anggap berita itu hanyalah gurauan. Namun selepas mendapat pengesahan mengenai, saya rasa sangat bertuah dan ini juga adalah satu isyarat untuk bekerja lebih keras bagi membalas kepercayaan diberikan jurulatih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Faisal Halim U23
Sumber Gambar: NST

Faisal menampilkan prestasi cemerlang ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun pada Mac lalu.

Selain itu, bekas pemain Pulau Pinang ini juga tamil cemerlang bersama pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia musim ini walaupun kerap dimasukkan sebagai pemain gantian.