Pemain sayap Terengganu, Faisal Halim mengucapkan terima kasih kepada penyokong sekaligus memberi isyarat bakal meninggalkan pasukan dan berhijrah ke pasukan baharu musim hadapan.

Setelah Terengganu tersingkir dari saingan Piala Malaysia 2022 apabila tewas kepada Selangor dengan keputusan 3-2 secara agregat, Faisal mengucapkan terima kasih kerana peminat setiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Terima kasih kepada semua peminat kerana selalu menyokong dan memberi semangat kepada saya. Saya akan merindui mereka. Terengganu merupakan satu pasukan yang luar biasa bagi saya.

“Sebenarnya saya tidak mahu meninggalkan Terengganu. Tetapi jodoh saya tak panjang bersama pasukan ini. Mungkin mereka ada pemain yang lebih baik (untuk menggantikan saya),” katanya menurut perkongsian Tengku Danish Bahri menerusi laman media sosial Twitter.

Tambah pemain yang mesra disapa Mickey itu, beliau tidak menutup kemungkinan untuk kembali menyarung jersi Terengganu pada masa akan datang.

“Sudah tentu kalau ada peluang dan ruang untuk saya kembali, saya akan kembali. Saya akan kembali untuk bersama Nafuzi Zain,” tambah Faisal.

Selain bakal kehilangan Faisal Halim, Terengganu juga bakal kehilangan ketua jurulatih mereka iaitu Nafuzi Zain dimana Nafuzi dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kipre Tchetche menjaringkan gol tunggal bagi Terengganu namun itu tidak cukup bagi membawa kelab Pantai Timur itu ke pentas akhir.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain pada minit ke 87 selepas Yazan Al Arab diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua. Ia berpunca daripada kekasarannya yang dilakukan terhadap Kipre.

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan oleh Terengganu apabila gagal menambah jaringan sehingga minit akhir perlawanan sekaligus memastikan tiket ke final TM Piala Malaysia 2022 menjadi milik Selangor.

Mereka akan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 November di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia juga merupakan perlawanan yang penting kerana juara Piala Malaysia musim ini akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC tahun depan.