Pemain sayap pasukan kebangsaan, Faisal Halim menggesa agar individu atau sebuah organisasi memulangkan apa yang menjadi haknya sebagai pemain profesional.

Menerusi laman media sosial Twitter miliknya, Faisal membuat desakan sedemikian setelah individu atau organisasi yang dimaksudkan tidak memulangkan haknya.

ā€œKita diam orang lain ingat kita tiada masalah. Bila kita bercakap, mereka anggap kita tidak profesional. Pulangkan hak saya. Mana boleh ambik hak orang tanpa beri tahu apa-apa.

ā€œIkut akta mana ya? Jangan ingat kita diam kita tak kisah, dalam kontrak pun tidak ada benda tu, guna kuasa mana ya?,ā€ soal Faisal Halim.

Pemain yang mesra dipanggil Mickey itu bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut individu atau organisasi mana yang beliau sebutkan.

Baru-baru ini, Faisal menjadi pemain skuad kebangsaan ketiga yang dibawa masuk oleh Selangor selepas kelab penuh nostalgia itu sebelum ini merekrut V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Tahun ini jelas menampakkan peningkatan yang cukup mendadak ditampilkan oleh Faisal selepas beliau menjaringkan 11 gol sepanjang musim untuk membantu Terengganu menamatkan saingan liga dikedudukan kedua, layak ke final Piala FA serta separuh akhir Piala Malaysia.

Ketika ini, Faisal beraksi bersama pasukan negara dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dan beliau menjaringkan gol tunggal pasukan negara ketika berdepan Myanmar.

Pada aksi bertemu Laos pada Sabtu ini, Faisal dijangka terus menjadi kepercayaan ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon untuk menerajui barisan serangan negara.