Faisal Halim mendedahkan bahawa sebagai pemain bola sepak, mereka ada cara tersendiri menunjukkan pengorbanan mereka demi negara.

Antaranya, terpaksa meninggalkan keluarga pada minggu cuti luar musim liga.

Ketika orang lain bercuti dan meraikan Tahun Baru bersama keluarga, Faisal Halim dan rakan rakannya sudah berkumpul kira kira sebulan dan meraikan Tahun Baru di kem latihan bersama sama pemain lain.

Faisal Halim bangga berjuang untuk negara

Faisal Halim menyatakan itulah pengorbanan yang mereka boleh lakukan sebagai seorang pemain bola sepak kepada negara.

Beliau berkata: “Selepas sebulan lebih kita bersama, kita sambut Tahun Baru bersama, kita tak ada cuti. Inilah pengorbanan yang sukar sebenarnya, tetapi kita sebagai pemain bola sepak profesional, inilah [tanggungjawab kita].”

“Apabila coach Kim [Pan-gon] memberikan peluang untuk dia bermain bermakna dia layak berada di dalam pasukan ini.”

“Kita dilahirkan untuk menjadi pemain bola sepak. Inilah kerja kita, inilah tanggungjawab kita untuk negara mahupun kelab.”

“Apabila dipanggil, saya akan sentiasa bersedia untuk bermain. Dan rakan rakan saya, walaupun [ada kalangan mereka] yang kurang pengalaman di peringkat antarabangsa namun mereka telah melakukan tugas dan tanggungjawab yang terbaik.”

Faisal mengakui mereka melakukan refleksi diri selepas Singapura berjaya mengikat Vietnam sedangkan Malaysia pula kalah.

Faisal mendedahkan: “Dan kita tahu, dengan keputusan seri dicatatkan oleh Singapura dan Vietnam, ia sebenarnya telah memberikan kita tekanan. Sebagai pemain, kita merenung kembali bagaimana kita boleh tewas dan Singapura boleh seri.”

Bercakap tengan isu rehat, Faisal berkata, mereka sudah berehat secukupnya. Dan fokus mereka sangat jelas bahawa aksi menentang Singapura adalah perlawanan sangat penting.

Faisal menyatakan:  “Semua pemain menikmati masa secukupnya untuk pulih bagi menghadapi perlawanan esok.”

“Saya telah mengingatkan rakan rakan sepasukan saya bahawa esok adalah perlawanan penting, dan tak perlu nak simpan tenaga, berikan yang sepenuhnya.”

Haqimi Azim
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

“Ya bola sepak kadangkala, kamu main cantik kamu kalah. Kadangkala ketika  mein bermain buruk, kamu menang. Ini adalah adat bola sepak.”

“Namun untuk perlawanan esok saya berharap rakan sepasukan saya akan mempamerkan bola sepak yang cantik. Dan kita akan bermain di gelanggan sendiri di Bukit Jalil, tidak mudah untuk Singapura merampas 3 mata daripada kita.”

Faisal Halim akui, para pemain dan staf kejurulatihan agak sugul dan kecewa selepas kekalahan di tangan Vietnam. Namun kini mereka sudah bangkit dan dalam motivasi yang baik menjelang aksi menentang Singapura.

“Ya sudah tentu selepas kita pulang dari Vietnam. Semua rakan saya dan staf kejurulatihan agak sedih [selepas kekalahan di tangan Vietnam].”

“Namun selepas 2 hari kemudian, semua orang kembali bersemangat dan dapat satu mood yang baik. Dan sekarang ini, semua tengah bersemangat untuk menentang Singapura.”

“Saya sudah beritahu rakan rakan saya, esok kita ada perlawanan yang penting bermain di halaman kita sendiri. Kita tak boleh kalah, kerana keluarga kita datang, rakyat Malaysia datang [memberikan sokongan].”

“Kita bermain di ‘rumah’ kita, tak akan kita nak bagi orang yang datang mudah mudah bermaharajalela di rumah kita.”

“Saya percaya dengan rakan rakan sepasukan saya, mereka akan melakukan yang terbaik pada esok.”

Faisal kemudian menyatakan bahawa pasukan Malaysia boleh sahaja memilih untuk bertahan 90 minit setiap perlawanan. Namun untuk kepentingan bola sepak di masa hadapan, adakah taktikal seperti itu akan membantu?

Beliau membuat perbandingan, ketika Malaysia menentang Turkmenistan, Malaysia menunjukkan keberanian untuk menyerang walaupun lawan mereka berada di ranking jauh lebih bagus.

Jadi Faisal percaya, jika mahu bola sepak maju, kita harus berevolusi seiring dengan bola sepak moden yang ada sekarang.