Pemain sayap Selangor, Faisal Halim memberi bayangan beliau kekal bersama pasukan itu setelah terdapat khabar angin yang mengatakan dua kelab Liga Korea Selatan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menerusi laman media sosial rasmi miliknya, Faisal memuat naik gambar beliau memakai jaket Selangor dengan caption merah kuning sekaligus memberikan gambaran bahawa beliau kekal di Lembah Klang.

Sebelum ini, dua kelab Korea Selatan iaitu Suwon Samsung Bluewings dan Incheon United dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Faisal.

Ejen dari Korea Selatan, Lee Jeong dalam satu temu bual baru-baru ini berkata beliau kagum dengan prestasi yang ditampilkan oleh Faisal selepas menyaksikan pemain itu beraksi.

“Saya sudah lihat pemain aksi sayap No.7 Selangor (Faisal). Dia bermain dengan begitu baik sekali. Selepas itu saya menghubungi kelab di Korea Selatan (berkenaan Faisal).

“Dan sekarang dua kelab menunjukkan minat terhadapnya. Pasukan pertama ialah Suwon Samsung dari K-1 (K-League 1). Satu lagi pasukan ialah Incheon United juga K-1,” katanya.

Ketika ini, Liga Korea tidak mempunyai kuota khas untuk pemain import dari rantau Asia Tenggara seperti mana yang terdapat di J League.

Sekiranya Faisal Halim mahu menyertai salah satu pasukan, maka beliau akan mengisi kuota pemain import dari rantau Asia.

Berdasarkan senarai daftar pemain terkini, Suwon Bluewings kini memiliki pemain Korea Utara, An Byung Jon. Manakala Incheon United pula memiliki pemain berasal dari Australia, Harrison Andrew.

K League 1 membenarkan setiap pasukan mendaftarkan enam pemain asing termasuk satu slot dari Asia. Dan setiap pasukan hanya membenarkan untuk menurunkan lima pemain pada satu masa di setiap perlawanan.