Pemain sayap negara, Faisal Halim menegaskan beliau berhak untuk melawan selepas apa yang dilakukan oleh bekas majikannya, Terengganu terhadap dirinya.

Selepas perlawanan kumpula B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Laos semalam, Faisal meluahkan kekecewaan beliau selepas Terengganu memotong gajinya tanpa sebarang notis ataupun perbincangan.

“Benda ni salah, Mickey ada hak untuk lawan dan pergi (laporkan) ke Malaysian Football League (MFL). Setakat RM5000-RM10,000 tak kan kita nak pergi (ajukan) ke MFL.

“Kita selesaikan cara baik, bagi balik hak saya, saya pun keluarkan kenyataan terima kasih kepada Terengganu, ini salah faham. Itu yang saya nak sebenarnya,” kata Faisal Halim kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Sebelumnya, pemain yang mesra disapa Mickey itu menjaringkan dua gol pada aksi bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sekaligus memberikan kemenangan kedua untuk pasukan negara.

Jaringan yang dinantikan para penyokong skuad negara akhirnya menjelma pada minit ke-29 apabila Sergio Aguero menolak masuk bola hasil hantaran lintang oleh pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan.

Faisal menggamatkan stadium dengan jaringan kedua negara menerusi tandukan pada minit ke-65.

Jaringan itu jelas tidak mencukupi buat pemain lincah tersebut apabila beliau sekali lagi menanduk masuk bola selepas menerima hantaran menarik Nor Hakim berselang tiga minit kemudian.

Serangan berterusan skuad negara jelas tidak mampu dihalang oleh Keo-Oudone Souvannasangso selepas pemain yang melakukan debut antarabangsa pada perlawanan ini iaitu Muhammad Haqimi Azim Rosli meledakkan voli cantik untuk gol keempat skuad negara pada minit ke-77.

Tidak cukup dengan itu, Stuart Wilkin pula meletakkan nama selaku penjaring gol pada minit ke-87 yang menyaksikan rembatannya daripada luar kawasan penalti tidak mampu diselamatkan Souvannasangso untuk mengesahkan kemenangan 5-0 buat skuad negara.