Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah dilantik sebagai penaung kelab Kuala Lumpur City (KL City) FC selepas menerima tawaran daripada Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Abdul Samad.

Menurut laporan daripada Bernama, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dikatakan telah bersetuju menjadi penaung KL City dengan syarat tiada syarikat komunikasi menaja kelab bola sepak itu.

“Saya telah mendapat pengesahan daripada Fahmi untuk menjadi penaung pasukan KL City, dengan syarat KL City tidak boleh mendapatkan penajaan daripada mana-mana syarikat telekomunikasi, yang kini berada di bawah kementeriannya.

“Ini kerana beliau tidak mahu terhutang dengan syarikat berkenaan kerana menyumbang atau membantu KL City…jadi apa kita perlukan ialah seseorang dihormati dan disegani sebagai penaung dan kita akan usaha untuk mendapatkan penajaan lain,” kata Khalid Abdul Samad.

Khalid Abdul Samad, Presiden KL City

KL City sebelum ini melantik Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Ogos tahun lepas, selepas bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa meletak jawatannya itu.

Selain itu, Khalid juga mendedahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh sedia pertimbangkan permohonan bagi menambah bajet persatuan daripada RM5 juta kepada RM10 juta setahun.

Beliau berkata kerjasama dengan DBKL bakal membuka peluang kepada syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) sebagai penaja, selari dengan kempen yang dibawa DBKL.

“Saya dah jumpa Datuk Bandar Kuala Lumpur, dia pertimbangkan permohonan saya tempoh hari sebanyak RM10 juta, walaupun nilai itu masih lagi jauh berkurangan dari apa yang kita belanjakan.

“Kita juga bersetuju untuk menjadi ambassador Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan apa-apa inisiatif DBKL untuk tahun ini, termasuk KL City akan membawa kempen DBKL menjadikan “Kuala Lumpur Ke Arah Bandar Rendah Karbon” sebagai jenama,” katanya.