Pasukan kebangsaan India bakal mengambil bahagian dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka yang dijadualkan dilangsungkan semula pada tahun ini.

Menurut perkongsian Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Shaji Prabhakaran di laman media sosial, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai peluang pasukan negara itu untuk tampil dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka.

Shaji mengesahkan India akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan perkara ini disambut dengan baik oleh peminat bola sepak di negara itu.

Sebelum ini, ada empat negara yang dikhabarkan bakal mengambil bahagian dalam edisi kali ini iaitu Vietnam, Thailand, Palestine dan Syria.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat India dimana pasukan negara mereka tidak berada dalam senarai tersebut dimana ada dikalangan yang mendakwa FA India yang memberikan idea mengenai kejohanan tersebut untuk kembali diadakan.

Pesta Bola Merdeka bakal dijadikan sebagai medan persediaan untuk pasukan negara yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2024 di Qatar.

Kejohanan ini merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Kejohanan ini telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka.

Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan ialah pada 2013 yang mana skuad B-23 Tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya muncul juara dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal.