Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Patrice Evra ternyata mengejutkan ramai pihak apabila secara terbuka menentang perlantikan Ralf Rangnick yang menurutnya memiliki falsafah berbeza dengan DNA Manchester United – merujuk kepada DNA Sir Alex Ferguson.

Evra tidak setuju Rangnick menjadi interim ataupun penasihat kelab selepas ini. Rangnick akan berada di bidang konsultansi selama 2 tahun selepas tamat musim ini.

Rangnick akan terlibat aktif dalam pembentukan DNA bola sepak dan perlantikan jurulatih selepas ini.

Di kala ramai peminat United meraikan perlantikan Rangnick sebagai interim dan selepas ini akan bertugas sebagai penasihat teknikal pasukan, Evra pula bukan salah seorang daripada mereka.

Ini kerana Evra mendengar bahawa Rangnick sudah merancang mahu mengubah cara permainan United agar berintensiti tinggi serta berasaskan penguasaan bola. Menurut Evra apa yang cuba dilakukan Rangnick itu ibarat tidak menghormati dan menghina Man United yang selama ini sudah ada DNA mereka sendiri.

Peminat Man United percaya Rangnick akan menjadi individu penting dalam membentuk asas DNA bola sepak berasaskan gegenpressing. Dan kemudian akan berada dalam kumpulan yang akan menentukan siapa pengurus paling sesuai untuk musim hadapan.

Selepas kemenangan 3-2 Manchester United ke atas Arsenal, Evra menegaskan bahawa dia lebih sukakan pengurus yang memahami DNA Manchester United berbanding dengan Rangnick yang mahu membawa ideologinya yang berbeza.

Evra berkata: “Saya tidak bersetuju. United mempunyai DNA dan cara bermain tersendiri. United ada DNA kita sendiri.”

Ole

“Dan sekarang kita akan bermain berdasarkan gaya permainan Rangnick?” tegas Evra.

“Manchester United bermain selama bertahun-tahun dengan cara tertentu, dan kini lelaki ini pula yang akan bertanggungjawab ke atas gaya permainan United. Saya mulai sangat kecewa.”

Seterusnya Evra mempersoalkan kredibiliti Rangnick sebagai pengurus, sambil bertanya, berapa banyak trofi yang pengurus itu sudah miliki? Lalu Evra mencadangkan agar Rangnick melatih kanak kanak di akademi berbanding jawatan pengurus ataupun sebagai pengarah bola sepak.

“Siapa Rangnick? Adakah dia memenangi banyak trofi sebagai pengurus? Saya rasa dia sepatutnya menjadi pengarah bola sepak dan pergi ke akademi, mengajar kanak-kanak di sana.”

Evra menegaskan dia akan menyokong Rangnick atas dasar dia pengurus Man United walaupun tidak yakin dengan perlantikan itu. Kerana menurut Evra, sesiapa sahaja yang menjadi pengurus United, akan mendapat sokongan daripadanya.

“Walaupun kelab lantik chef [tukang masak] Man United, saya akan berada di belakangnya.”

“Saya sokong Rangnick, tetapi saya rasa anda perlu menghormati sejarah United. Kita tengok lah nanti.”

Kenyataan Evra kemudiannya membuatkan peminat Man United Twitter menjadi heboh mengenai komennya, dengan ramai yang memetik prestasi kurang konsisten Red Devils sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Legenda United itu juga telah dituduh tidak menghormati Rangnick dan diminta membuat kajian terlebih dahulu sebelum berbicara.

Ini kerana jurulatih Schalke dan Leipzig itu menjadi pengaruh besar untuk Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel serta Julian Nagelsmann.

Rangnick menjadi pembangun bakat bakat yang tidak ternama sehingga menjadi bakat elit seperti Erling Haaland, Naby Keita, Sadio Mane, Timo Werner serta Roberto Firmino sekalipun.

Ada juga peminat Man United yang berkongsi semula kenyataan Dmitar Berbatov beberapa tahun lalu yang mengkritik pengurusan Manchester United sebagai mengamalkan kronisme melampau.

Ketika itu Berbatov mempersoalkan cadangan oleh BOD Manchester United yang mengutamakan bekas pemain Manchester United dalam memilih pengarah Sukan. Ini termasuk nama nama seperti Rio Ferdinand, Peter Schmeichel, Vidic, dan Darren Fletcher.

Berbatov kemudian bertanya, mungkin namanya juga harus dipertimbangkan kerana dia bekas pemain Manchester United, walaupun dia tak ada pengalaman dalam bidang pengarah sukan.

“Selepas Rio Ferdinand minggu lepas, sekarang Darren Fletcher dikaitkan dengan jawatan Pengarah Sukan. Kenapa tiada nama Dmitar Berbatov? Saya pun ada sarjana dalam pengurusan sukan dan juga ada lencana jurulatih UEFA untuk peringkat awalan.”

“Ini jawatan penting yang menjadi jambatan perhubungan di antara pengurus dengan pasukan serta lembaga pengarah. Man United harus melantik orang yang benar benar berkaliber dan layak.”

“Saya pun tahu pasal skop tugasan ini dan bagaimana ia dilakukan. Tapi untuk jawatan seperti ini kamu harus melantik seseorang yang benar benar bersedia, bukannya membuat keputusan berdasarkan semangat, kamu bekas pemain.”

“United akan membuat kesilapan jika berterusan melantik orang atas dasar seperti ini.”

“Bagaimana kamu nak lantik salah seorang daripada 4 pemain itu yang tak pernah menjadi businessman, tak pernah menjadi pengurus pasukan, tak pernah melatih mana mana pasukan profesional, tak pernah menjadi pengarah sukan – dan mereka berempat diletakkan dalam senarai teratas dari kalangan calon?”

“Ini tidak betul.”

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group