Ukraine kembali menghidupkan peluang untuk ke pusingan 16 apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Macedonia Utara pada aksi kedua saingan Euro 2020 yang berlangsung di National Arena, Bucharest sebentar tadi.

Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk terus mempamerkan aksi cemerlang seperti ditampilkan ketika menentang Belanda tempoh hari selepas masing-masing menjaringkan satu gol pada babak pertama.

Skuad kendalian Andriy Shevchenko itu tampil garang pada babak pertama setelah mendominasi permainan serta tidak memberikan sebarang ruang buat pasukan lawan untuk mendapatkan percubaan tepat pada 45 minit pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila Ukraine mendapat peluang untuk berada di hadapan seawal minit kelapan menerusi Ruslan Malinovskyi tetapi rembatannya dalam kawasan penalti ditepis keluar penjaga gol, Stole Dimitrievski.

Jaringan yang dinantikan Ukraine menjelma pada minit ke-29 apabila Yarmolenko menolak mudah bola hasil kuisan di udara dilakukan Oleksandr Karavaev susulan sepakan penjuru diambil Ruslan Malinovskyi bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Lima minit berselang, giliran Yaremchuk pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau melakukan percubaan ‘placing’ leret sekali gus berjaya menewaskan Dimitrievski hasil hantaran yang cukup baik dilakukan Yarmolenko.

Enggan terus ditekan Ukraine, anak buah Igor Angelovski itu hampir mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-39 tetapi jaringan Goran Pandev dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki babak kedua, Macedonia Utara tampil lebih garang untuk memberikan tekanan dengan melakukan beberapa serangan berbahaya ke arah pintu gol Ukraine.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran dilakukan Karavaev terhadap Pandev.

Sepakan penalti Ezgjan Alioski pada mulanya dinafikan penjaga gol, Georgiy Bushchan bagaimanapun tonggak Leeds United itu lebih pantas melakukan percubaan susulan bagi merapatkan jurang mata.

Jaringan itu nyata menghangatkan lagi saingan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Keadaan itu menyebabkan Ukraine hampir menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, sepakan yang diambil Malinovskyi pada minit ke-84 itu dibaca dengan baik oleh Dimitrievski bagi menyematkan keadaan.

Usaha Macedonia untuk menghasilkan jaringan penyamaan tidak kesampaian apabila barisan pertahanan Ukraine kental bertahan untuk perlawanan berkesudahan 2-1 memihak Ukraine.