Itali mengesahkan tempat ke pusingan 16 saingan Euro 2020 selepas berjaya membenam cabaran Switzerland 3-0 pada aksi kumpulan A yang berlangsung di Stadio Olimpico, Rome sebentar tadi.

Dua jaringan diledakkan oleh Manuel Locatelli dan satu daripada Ciro Immobile itu meletakkan Itali kini di tangga teratas dengan enam mata selepas turut mencatatkan kemenangan dengan keputusan yang sama pada perlawanan pertama bertemu Turki, tempoh hari.

Beraksi di gelanggang yang tidak asing lagi buat skuad kendalian Roberto Mancini itu, Itali dilihat lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Switzerland.

Skuad Azzuri itu mengancam pintu gol Switzerland yang dikawal Yann Sommer seawal minit ke-10 tetapi tandukan Ciro Immobile selepas menerima hantaran lintang daripada Leonardo Spinazzola sedikit melewati palang gol.

Berselang sembilan minit kemudian, Giorgio Chellini berjaya membolosi gawang Switzerland ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti susulan situasi sepakan penjuru.

Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya sementara apabila jaringan tersebut dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) kerana bola didakwa terkena tangan pemain pertahanan berpengalaman itu.

Kehampaan itu ditebus pada minit ke-26 selepas Locatelli yang bijak membuat larian ke dalam kawasan penalti menerima hantaran kemas daripada Domenico Berardi lalu menolak dengan mudah bola untuk membuka tirai jaringan.

Locatelli terus membalas kepercayaan yang diberikan Mancini dengan menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-52 menerusi rembatan rendah dari luar kawasan penalti untuk sekali lagi menewaskan Yann Sommer di gawangnya.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Ciro Immobile mematikan api perjuangan skuad bimbingan Vladimir Petkovic itu apabila beliau meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti bagi mengesahkan kemenangan 3-0 buat juara edisi 1968 tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Euro 2020:

Euro 2020: Langkah Kanan Buat Itali, Mudah Tundukkan Turki 3-0

Euro 2020: Sumbangan Berkesan Gareth Bale Pastikan Wales Atasi Turki

Euro 2020: Rusia Kembali ‘Bernyawa’, Berjaya Tumpaskan Finland 1-0