Wales berjaya menyerap tekanan diberikan Turki untuk meraih kemenangan 2-0 pada aksi kedua saingan kumpulan A Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi.

Kemenangan penting yang diraih itu dilihat mencerahkan peluang Wales untuk melayakkan diri ke peringkat 16 selepas skuad kendalian Robert Page tersebut mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pertemuan pertama menentang Switzerland, tempoh hari.

Persefahaman yang cukup baik ditampilkan Aaron Ramsey dan Gareth Bale terutamanya pada babak pertama jelas menjadi masalah besar buat Turki.

Ia jelas dibuktikan apabila Bale melakukan hantaran menarik buat Ramsey dalam kawasan penalti seawal minit keenam tetapi percubaan pemain tengah Juventus itu selepas melakukan acahan terhadap pertahanan lawan dinafikan penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir.

Berselang tiga minit kemudian, Turki pula melakukan serangan menerusi Burak Yilmaz tetapi percubaan dalam kawasan penalti daripada ketua pasukan tersebut membias terkena pertahanan bagi menyelamatkan keadaan.

Selepas itu, percubaan ‘first timer’ dilakukan Cengiz Under dari luar kawasan penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol berusia 27 tahun, Danny Ward.

Perlawanan bertambah menarik apabila Ramsey yang sekali lagi mendapat umpanan cantik daripada Bale berjaya melepasi perangkap ofsaid, tetapi percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Cakir meliar pada minit ke-24.

Kehampaan Ramsey terbalas ketika perlawanan memasuki minit ke-43 apabila lariannya dari belakang yang tidak dikawal pertahanan Turki bagi mendapatkan bola hantaran Bale, disudahkan dengan tenang untuk memberikan kelebihan jaringan buat Wales.

Wales berpeluang untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-61 tetapi Bale gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya sekadar melewati palang gol.

Tidak mahu tewas buat kali kedua, Turki berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi Danny Ward begitu kental bertahan menafikan empat percubaan tepat dijelmakan pada separuh masa kedua.

Ketika perlawanan sudah berkira-kira untuk ditamatkan, Connor Roberts menyempurnakan peluang dengan hanya menolak masuk bola hasil hantaran Bale untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0.

Dengan kemenangan tersebut, Wales kini mengumpul empat mata untuk menduduki tangga teratas, berkelebihan satu mata di hadapan Itali yang akan berhadapan dengan Switzerland pada jam 3.00 pagi nanti.